Jumaat, 15 Disember 2017 | 7:07am

Guna saluran betul elak terkandas di Tanah Suci

Cerita bakal haji sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata untuk mendapat tempat bagi menunaikan haji, tetapi akhirnya kecewa apabila mendapat tahu syarikat agensi yang sepatutnya menguruskan pemergian mereka ke Tanah Suci menipu, saban tahun kita dengar apabila tiba musim haji.

Sesiapa juga akan berasa sedih, marah dan kesal apabila terjebak dengan kes seumpama ini. Apatah lagi, sedang jiwa bergelora untuk mengerjakan ibadat haji dan bersusah payah mengumpul perbelanjaan, tiba-tiba terkandas serta tidak dapat berangkat ke Tanah Suci.

Baru-baru ini, dilaporkan 35 individu kerugian RM1.6 juta, apabila ditipu agensi pelancongan berpusat di Shah Alam, Selangor, menerusi Pakej Haji Orang Kenamaan (VIP) menggunakan visa Furada. Semua mangsa yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada Ogos lalu dilaporkan terkandas kerana masalah visa dan isu penerbangan. Dilaporkan juga, agensi terbabit didapati tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji dan lesen umrah.

Bagi mengelak terjebak dalam masalah ini, umat Islam di Malaysia mesti tahu saluran betul untuk memenuhi hasrat ingin menunaikan fardu haji.

Guna khidmat Tabung Haji

Dalam keadaan biasa, jemaah yang menunaikan haji menggunakan khidmat Tabung Haji Muassasah, TH Travel atau Pengelola Jemaah Haji yang dilesenkan, tidak berhadapan masalah.

Yang sering timbul masalah ialah dalam kalangan jemaah yang mendapat visa haji dikenali sebagai visa Furada iaitu hak milik Kedutaan Arab Saudi untuk memberi kepada sesiapa sahaja.

Saban tahun, pelbagai pihak mendapat visa Furada daripada pihak Kedutaan Arab Saudi yang bermurah hati meluluskannya. kerajaan dan rakyat Malaysia seharusnya bersyukur serta berterima kasih di atas kelulusan itu.

Bagaimanapun, semua pihak mendapat visa Furada diharap tidak membelakangkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), supaya isu penipuan dapat dibendung.

Selain itu, punca berlakunya isu penipuan seperti ini adalah sebab ramai umat Islam di negara kita ini tidak sabar menunggu giliran yang ditetapkan Tabung Haji (TH) dan sanggup menerima pelawaan dari pihak tidak berlesen yang akhirnya merugikan mereka sendiri.

Rancang tunai haji

Umat Islam disarankan, merancang untuk menunaikan haji seperti panduan berikut: Membuka akaun simpanan TH; Mendaftar seawal mungkin dengan TH untuk menunaikan fardu haji dan sabar menunggu giliran; Sebaik sahaja giliran tiba, berhubung dengan TH untuk membuat pilihan pakej, sama ada melalui Tabung Haji Muasasah, TH Travel atau Pengelola Jemaah Haji yang dilesenkan Tabung Haji; Bagi yang mendapat visa haji Furada dinasihatkan, berhubung dengan TH bagi mendapatkan senarai nama pengelola jemaah haji yang dilesenkan untuk menempah pakej haji atau menggunakan khidmat TH Muasasah atau TH Travel.

Perancangan awal dan sabar menunggu giliran amat penting. Walaupun mungkin ada menyatakan, dia ada hak untuk ke Tanah Suci kerana ada kemampuan kewangan cukup, harus ingat negara kita mempunyai kuota ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Hakikatnya, tindakan mengenakan kuota haji kepada semua negara seperti diputuskan dalam mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah amat penting untuk dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kebaikan pelaksanaan kuota haji ini ialah dapat menjamin keselamatan, kelancaran perjalanan masyaer, mengatasi kesesakan dalam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram serta kesempurnaan ibadah jemaah haji.

Kita tidak nafikan, peratusan jemaah Malaysia yang sudah bersedia menunaikan haji adalah tinggi, sedangkan kuota diberi masih tidak cukup. Senario itu sekali gus, menyebabkan jemaah terpaksa menunggu lama giliran sehingga wujud perasaan tidak sabar. Akhirnya, ada jemaah tidak mengikut melalui saluran betul hingga jadi mangsa penipuan dan inilah yang di bimbangkan.

Berdasarkan rekod, TH adalah perbadanan yang berjaya dalam misinya. Jadi, sebaik-baiknya jemaah perlu merujuk dengan TH sebelum membuat pilihan dan keputusan.

Penulis ialah Pengarah Urusan Rayhar Travels Sdn Bhd

907 dibaca
Berita Harian X