Jumaat, 20 April 2018 | 9:39am
FOTO hiasan

Undi untuk manfaat ummah

ISLAM ialah agama yang tidak terasing daripada kehidupan semasa, sebaliknya sentiasa memberi respons dan berinteraksi terhadap realiti sedia ada.

Realiti di negara ini ialah pilihan raya umum menjadi mekanisme untuk membentuk kerajaan negara ini.

Kerajaan yang terbentuk sudah tentu memberi kesan kepada kelangsungan umat Islam dan masa depan kita.

Umat Islam tidak boleh mengasingkan diri daripada sistem ini, sama ada secara suka ataupun tidak. Tindakan tidak mengundi dan berniat untuk merosakkan undi ialah tindakan salah dan tidak membawa sebarang

keuntungan kepada Islam serta umat Islam, bahkan mensia-siakan hak diberi. Malah, ia membahayakan masa depan umat Islam di negara ini.

Namun perkara penting perlu difahami umat Islam di negara ini, mengundi bukan sekadar aktiviti memenuhi tuntutan demokrasi sekali dalam lima tahun, tetapi ia kesaksian yang penuh dengan beban kebertanggungjawaban di dunia dan akhirat. Ia sangat penting kerana dasar negara yang menjadi amalan masyarakat banyak ditentukan wakil yang dihantar ke Parlimen. Begitu juga kedudukan Islam, sejauh mana ia diperkasa di negara ini juga banyak ditentukan wakil terbabit.

Dalam Islam, kesaksian ialah topik besar dan serius. Ini dapat difahami daripada ayat al-Quran seperti yang

bermaksud: "Dan mereka pula menyifatkan malaikat - yang juga menjadi hamba Allah Yang Maha Pemurah itu - jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan penyaksian mereka (dusta) dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya)." (al Zukhruf: 19) Penyaksian bohong yang dilakukan oleh orang kafir dalam ayat di atas tetap akan ditanya dan dibalas.

Juga dalam ayat bermaksud: "Dan janganlah kamu (wahai orang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang disaksikan itu. Dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia orang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Baqarah: 283) Walaupun ayat ini menyentuh isu persaksian dalam gadaian, namun isu utamanya apabila kita diminta untuk membuat persaksian maka tanggungjawab itu perlu ditunaikan.

Persaksian hendaklah dilakukan kerana Allah dan bertujuan menegakkan hukum Allah. Itulah matlamat digariskan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan adakanlah dua saksi adil antara kamu untuk membuat persaksian; dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata." (al-Talaq: 2) Walaupun ayat ini merujuk kepada ayat rujuk dan perceraian, isu utama yang perlu diambil perhatian ketika memberikan persaksian ialah tujuannya hendaklah semata-mata kerana Allah SWT.

Dalam Islam memberi kesaksian palsu (syahadah az-zuur) ialah perbuatan haram dan zalim, bahkan termasuk sebesar-besarnya dosa besar (akbarul kabaair). Larangannya tegas disebutkan dalam al-Quran dan Sunah. Allah

SWT menggandingkan larangan kesaksian palsu dengan larangan menyekutukan-Nya (syirik): "Maka jauhilah dosa akibat menyembah berhala dan jauhilah perkataan yang dusta." (Al-Haj: 30)

Allah SWT juga menjadikan dosa besar ini sebagai perkara menyebabkan pelakunya terjerumus pada kesesatan dan jauh daripada hidayah: "Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang melampaui batas lagi pendusta." (Ghafir: 28) Di sisi lain, Allah SWT memuji hamba-Nya yang Mukmin kerana mempunyai sikap selalu menghindari kesaksian palsu: "Dan orang yang memberikan kesaksian palsu." (Al-Furqan: 72)

Sementara itu, Rasulullah SAW memberikan peringatan keras terhadap memberi kesaksian palsu hingga memasukkannya pada antara tiga dosa besar: "Mahukah aku beritahu kamu sebesar-besarnya dosa besar? Itulah syirik, derhaka kepada ibu bapa dan memberi kesaksian palsu." Rasulullah SAW terus mengulang ucapannya hingga kami berharap agar Baginda berhenti daripada mengulanginya." (HR Bukhari) Mengundi ialah memberi persaksian terhadap calon pilihan kita.

Apabila sampai waktu mengundi, kita diminta memberi persaksian, maka tidak boleh untuk menyembunyikannya dengan tidak mengundi mahupun (sengaja) mengundi rosak. Al-Quran juga mengajar kita persaksian hendaklah bertujuan kerana Allah SWT dan menegakkan keadilan hukum Allah SWT.

Mengundilah untuk membantu dalam memenangkan agama Allah SWT. Berilah persaksian jujur kepada calon bertanding dan nilailah sejauh mana mereka mengangkat agenda Islam, berintergriti, cekap, mahir mengurus, bebas dari pengaruh asing dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan tanah air ini kekal menjadikan Islam sebagai rujukan utama. Kita akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap persaksian itu.

Penulis ialah Timbalan Mufti Perak

267 dibaca
Berita Harian X