Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:00am
Kerjasama dan pemikiran bersepadu semua pihak akan menjadikan sekolah tahfiz baik dalam arus perdana atau di luar arus perdana satu keperluan dan melengkapi sistem pendidikan negara. - Foto hiasan

Tanggungjawab bersama perkukuh tahfiz

Sekolah agama sudah mendapat penarafan paling tinggi dan kini hanya yang pandai sahaja diterima memasuki kebanyakan sekolah agama menyebabkan yang termasuk dalam kumpulan tidak layak terpaksa mencari alternatif.

Maka, sekolah tahfiz yang ditubuhkan khususnya secara persendirian menjadi pilihan untuk menampung keperluan ibu bapa yang tetap menginginkan anak mendapat pendidikan dalam aliran agama.

Kelebihan sekolah tahfiz selain mendapat pendidikan agama, pelajar juga akan menghafal al-Quran selain tinggal di asrama yang kebanyakannya disediakan oleh pihak pengurusan sekolah tahfiz.

Itu bagi yang jujur untuk memberi pendidikan sedemikian kepada anak mereka kerana tidak dinafikan, ada sesetengah ibu bapa menjadikan sekolah tahfiz sebagai pilihan apabila sudah tidak mampu mengawal tingkah laku anak.

Justeru, sekolah tahfiz dipilih sebagai usaha memulihkan anak mereka yang berdepan masalah akhlak atau pembelajaran. Disebabkan itu, persepsi terhadap sekolah tahfiz serta suasana di institusi itu agak pelbagai.

Lengkapi sistem pendidikan

Mahu tidak mahu semua pihak perlu mengakui kedudukan sekolah tahfiz baik dalam arus perdana atau di luar arus perdana adalah satu keperluan dan sewajarnya inisiatif penubuhan dilihat sebagai melengkapi sistem pendidikan negara.

Pensyarah Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azizi Umar, berkata permintaan ibu bapa untuk pendidikan tahfiz memberi impak kepada penggubal polisi apabila bahasa pihak pentadbiran serta orang politik mengenai sekolah tahfiz juga sudah berubah.

Beliau berkata, semua pihak bertanggungjawab dalam pendidikan agama Islam dan berharap wujud pemikiran yang bersepadu khususnya daripada Kerajaan Persekutuan, negeri dan pengusaha sekolah tahfiz untuk memastikan ia tidak terabai.

Katanya, sekolah tahfiz dan sekolah agama yang bukan dalam arus perdana tidak termasuk dalam kategori institusi pendidikan sedangkan sepatutnya institusi berkenaan berada di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

"Sebenarnya saya kurang bersetuju penggunaan perkataan 'sekolah tahfiz' kerana kurikulum daripada peringkat aliran dan premis pembelajaran dijalankan tidak sampai kepada tahap sebuah sekolah dari segi organisasi.

"Bagaimanapun, kewujudannya yang diberi sokongan oleh ibu bapa sepatutnya menyedarkan masyarakat keperluan untuk membangunkan sistem pendidikan tahfiz," katanya pada Wacana Cendekiawan Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), baru-baru ini.

Wacana bertajuk 'Status Sekolah Tahfiz dalam Pendidikan Negara: Di Mana dan Ke Mana Akhirnya' anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM itu membincangkan impak kewujudan sekolah tahfiz yang banyak serta masalah dan cabaran dihadapi.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Prof Datuk Dr Zakaria Stapa; Ahli Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS), Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri dan Bendahari Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata al-Quran), Datuk Adnan Hashim.

Azizi berkata, antara perkara perlu diberi perhatian ialah aspek perundangan dan birokrasi kerana pendidikan adalah tanggungjawab Persekutuan sementara hal berkaitan agama Islam di bawah tanggungjawab negeri.

Mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988, sekolah Islam tidak boleh ditubuhkan atau didirikan melainkan ia didaftarkan mengikut peruntukan enakmen berkenaan.

"Kenapa tidak mendaftar? Sukar untuk dijawab. Kenapa perlu berdaftar? Supaya senang kerajaan untuk beri bantuan. Tetapi ada yang berfikir-fikir untuk mendaftar kerana takut ada campur tangan. Ke mana akhirnya, bergantung semangat semua pihak," katanya.

Perluas kebersamaan

Sementara itu, Zakaria ketika membicarakan pengurusan pendidikan Islam di Malaysia berkata, semangat kebersamaan diperlukan supaya pendidikan agama Islam menjadi lebih efektif dan munasabah dalam arus perdana pendidikan negara.

Beliau berkata, pada persidangan meja bulat Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) pada 16 April 2016 telah mengenal pasti beberapa perkara berkaitan senario pendidikan tahfiz di Malaysia yang antara lain ialah tiada dadar khusus berkaitan pendidikan tahfiz.

Maahad tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri, kurikulum tidak sepadu, pensijilan tidak diiktiraf, tenaga pengajar tidak terlatih, dana tidak mencukupi dan infrastruktur tidak kondusif.

"Lima teras pelan strategik menangani isu itu iaitu segi undang-undang dan penguatkuasaan, memperkenalkan modul institut tahfiz, memantapkan kurikulum sesuai pendidikan arus perdana, memperkasa tadbir urus dan mewujudkan sistem pengiktirafan serta pensijilan institut tahfiz.

"DPTN sangat penting bagi menyeragamkan pengurusan institusi tahfiz di seluruh negara untuk menjamin masa depan pelajarnya supaya tidak tercicir daripada arus perdana dan memastikan pengurusan berkembang lebih baik," katanya. Adnan yang berkongsi mengenai misi serta visi badan bukan kerajaan (NGO) Permata al-Quran berkata, pendidikan sekolah tahfiz adalah perjuangan mereka yang inginkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Fokus pendidikan kompetitif

Oleh itu, katanya, Permata al-Quran memfokuskan kepada pendidikan lebih kompetitif dengan memastikan pelajar bukan sahaja diberi ilmu al-Quran, malah mereka digalakkan maju dalam bidang akademik.

"Kita tekankan kepada pelajar untuk hafal, faham dan amalkan selain mahukan sekurang-kurangnya mereka ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana kita mahu mencari tahfiz yang terbaik.

"Inilah jawapan kepada persoalan untuk melahirkan pelajar dan guru yang baik dengan kerjasama semua pihak berkaitan. Bagi tujuan itu kami bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja supaya pelajar tahfiz ada akademik dan kemahiran," katanya.

Beliau berkata, misi itu sebenarnya adalah usaha bersama sekolah tahfiz di negara ini untuk mengurangkan masalah serta gejala yang berlaku dan sebagai peluang masyarakat membantu meningkatkan tahap pendidikan sekolah tahfiz.

153 dibaca
Berita Harian X