Isnin, 1 Januari 2018 | 6:10am
- Gambar hiasan

Kata hikmah Saidina Fudhail jadi panduan

Dikenali kerana ketokohan ilmunya, Saidina Fudhail ibn Iyyad juga seorang yang takut berbuat kesalahan. Malah, beliau memiliki kesabaran tinggi dan kuat beribadah. Sentiasa mengagungkan kalimah Allah SWT. Ikuti kisah menarik dan perkongsian kata-kata hikmah tabiin yang disegani itu bersama Ustaz Muhadir Joll dalam segmen Ibrah (Salafus Soleh) di IKIMfm.

Saidina Fudhail ibn Iyyad pernah berkata, sesiapa yang takut kepada Allah, nescaya tidak ada seorang pun yang boleh mendatangkan mudarat kepadanya.

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh), Ustaz Muhadir Joll berkongsi mengenai kisah Saidina Fudhail ibn Iyyad, seorang tabiin yang sangat disegani dan hebat pada zamannya.

Menurut Ishak ibn Ibrahim al-Tabari, Saidina Fudhail seorang yang takut berbuat kesalahan dan dosa, tidak berharap sesuatu daripada manusia serta tidak menghinakan dirinya kepada manusia.

Saidina Fudhail membaca al-Quran dengan lambat, tidak gopoh, syahdu, lantang dan jelas, seolah-olah beliau sedang berbicara dengan seseorang. Ini bukti beliau mengagungkan kalimah Allah SWT.

Malah, ketika membaca ayat yang menyebut mengenai syurga, beliau akan membacanya berulang-ulang kali sambil memohon kepada Allah SWT untuk mendapatkan syurga-Nya.

Ketokohan ilmunya

Selain dikenali kerana ketokohan ilmunya, Saidina Fudhail kuat beribadah. Beliau sering mengerjakan qiamullail sambil duduk kerana bacaannya yang panjang. Imam Ismail ibn Yazid ibn Ibrahim ibn menyifatkan Saidina Fudhail seorang yang dadanya penuh dengan kebesaran.

Beliau apabila menyebut atau disebut nama Allah SWT oleh orang lain di sisinya, ketika mendengar orang membaca al-Quran, maka akan terzahir rasa takut dan sedih. Rasa takut dengan perbuatan yang pernah dilakukan dan sedih kerana sedikitnya amalan.

Sehebat-hebat Imam Abdullah ibn al-Mubarak, ahli hadis terkemuka dan sangat warak, beliau juga pernah mendapat pengajaran daripada Saidina Fudhail. Katanya, jika melihat Fudhail, nescaya hatinya sedih terasa hiba kemudian menangis.

Saidina Fudhail sangat terkenal dengan kata-kata hikmah yang sering diingati sehingga kini. Ulama menyebut, kalam hikmah itu berasal daripada hati yang bersih seperti 'ikutilah jalan hidayah dan kalaupun sedikit orang yang menitinya, tidak akan membahayakan kamu kerana jalan itu jalan petunjuk. Berhati-hatilah dengan jalan kesesatan dan jangan tertipu dengan banyaknya orang yang berjalan di atasnya kerana orang sebegini adalah orang yang binasa di dalam kesesatan'.

Menyayangi makhluk

Beliau juga pernah menyebut, manusia itu tidak ada sesuatu yang lebih baik dapat menghiasinya melainkan daripada bercakap benar, benar kata-katanya dan perbuatannya serta menuntut sesuatu yang halal.

Anaknya, Ali kemudian berkata: "Wahai bapaku, susah untuk mencari benda yang halal ini. Lantas Saidina Fudhail menjawab: Wahai anakku, sesungguhnya walaupun benda yang halal itu, tetapi besar dan banyak rahmatnya di sisi Allah SWT."

Pernah juga beliau menyebut mengenai hakikat hamba iaitu, "Takutnya hamba itu dengan Allah SWT mengikut kadar ilmunya mengenai Allah SWT, kalau dia tahu Allah SWT Maha pada segala-galanya, maka akan rasa dirinya kerdil dan kecil."

Katanya lagi, demi Allah SWT tidak halal bagi kamu untuk menyakiti anjing dan khinzir dengan tanpa hak. Bagaimana lagi hukumnya kalau kamu menyakiti orang Islam. Begitulah kata-kata seorang yang menyayangi saudara Islam yang lain.

Mendoakan pemimpin

Beliau juga pernah berkata sesuatu mengenai pemimpin, "kalau aku memiliki sebuah doa yang mustajab, tidak aku mendoakan melainkan untuk kebaikan imam atau pemimpin, kerana baiknya pemimpin itu, baik jugalah nanti untuk negeri dan masyarakatnya."

Antara kata-kata hikmah Saidina Fudhail yang terakhir, "telah sampai berita kepadaku bahawa ulama dahulu, jika mereka menuntut ilmu, mereka akan mengamalkannya. Jika mereka mengamalkan, maka mereka akan sibuk untuk beramal. Jika mereka sibuk, mereka tidak nampak benda dunia yang lain dan jika mereka tidak nampak benda lain, mereka dicari-cari oleh orang lain untuk menuntut ilmu dengan mereka. Jika mereka dicari-cari orang, nescaya mereka akan lari menghilangkan diri."

Ini menunjukkan ulama dahulu tidak mementingkan kemasyhuran dan namanya diangkat-angkat. Begitulah kehebatan ilmu, ibadah dan kata-kata hikmah Saidina Fudhail ibn Iyyad yang boleh kita contohi dan amalkan dalam kehidupan kita.

Penulis adalah Penyampai dan Penerbit IKIMfm

979 dibaca
Berita Harian X