Rabu, 28 Oktober 2015 | 9:05am
PELAKON, Falisha Crossley. - Foto Munira Abdul Ghani

Falisha Crossley selesa dengan Pekin Ibrahim


FALISHA perlu mengubah penampilan menjadi Sikha, seorang gadis punk yang hidup dalam dunia tersendiri. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Pelakon baru, Falisha Crossley sanggup mengorbankan rambut panjang ikal mayangnya demi tuntutan watak dalam filem pertama Mat Motor arahan Pekin Ibrahim. Menerusi filem itu, arahan bersama Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof terbitan Viper Production, Falisha perlu mengubah penampilan menjadi Sikha, seorang gadis punk yang hidup dalam dunia tersendiri.

Bagi gadis genit ini yang berdarah campuran Inggeris dan Cina sebelah bapa manakala Melayu Sarawak sebelah ibu, tawaran itu diterimanya kerana pernah berlakon dengan Pekin menerusi filem pendek berjudul Isteri Saya arahan Wan Mohd Hafiz. Ketika itu, Falisha diminta untuk menghadiri uji bakat dan siapa sangka tuah menyebelahinya untuk membawakan watak Sikha.

"Memang selama ini saya tak pernah berambut pendek paras bahu. Jadi untuk filem pertama ini, saya rasa pengorbanan memotong rambut ini kira berbaloi. Ikutkan rasa hati memang sedih untuk mengorbankan rambut ini tetapi demi memenuhi tuntutan karakter, saya pejamkan mata. Dengan persaingan artis baharu sekarang ini seperti cendawan tumbuh pada waktu pagi, saya sendiri kena tampilkan kelainan," katanya kepada BH Online.

Falisha juga selesa dengan gandingannya Pekin yang membawakan watak AC.

"Sebagai pelakon dan pengarah, Pekin tak lokek membantu saya. Saya banyak belajar selok belok lakonan dengannya. Semua yang terbabit dalam Mat Motor dianggap seperti keluarga sendiri. Saya bangga dapat berlakon dengan barisan pelakon hebat lain seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Kamarul Yusoof, Zul Huzaimy dan Shaheizy Sam," katanya yang memulakan penggambaran Mat Motor sejak 14 Jun lalu.

Mat Motor dijangka ditayangkan pada 14 Januari depan.


FALISHA Crossley sanggup mengorbankan rambut panjang ikal mayangnya demi tuntutan watak dalam filem pertama Mat Motor arahan Pekin Ibrahim.

Ditanya mengenai tawaran berlakon filem sekuel Abang Long Fadil 2, Falisha berkata, dia dengar mengenai perkara itu.

"Namun tiada hitam putih pun. Jadi saya tak berharap apa-apa pun," katanya ringkas.

Falisha mula membabitkan diri sebagai pelakon iklan dan seterusnya pada 2011 mencuba nasib sebagai pengacara. Hanya pada 2013, dia serius berlakon.

Drama Selamat Pengantin Madu dan Istikharah Cinta antara drama yang meledakkan namanya. Ketika ini Falisha sedang melunaskan baki penggambaran drama Memori Cinta Suraya terbitan Global Station.

Ketika dihubungi Falisha berada di Sarawak kerana menjalani penggambaran telefilem Roket Air arahan Nazir Jamaluddin di samping pelakon Fir Affandi dan Mahmud Ali Bashah.

430 dibaca
Berita Harian X