Isnin, 27 April 2015 | 4:47pm

Pembelian pelabur asing di Bursa mencapai kemuncak

KUALA LUMPUR: Arah aliran penyertaan pelabur asing dalam pasaran saham Malaysia berterusan untuk minggu keenam berturut-turut, namun kemuncak pembeliannya dilihat semakin berkurangan.

Perkembangan itu juga terus menyokong pemulihan ringgit yang kini berada pada paras sekitar RM3.55 berbanding AS$1, daripada kira-kira AS$3.70 sebulan lalu.

Ketua Penyelidik MIDF Equities Research, Zulkifli Hamzah, berkata belian bersih pelabur asing dalam pasaran terbuka Bursa Malaysia minggu lalu mencecah RM163.3 juta, bagaimanapun jumlah itu adalah yang terendah dalam tempoh enam minggu.

"Aliran dana adalah tidak menentu, dengan pelabur asing membeli dengan banyak pada hari Selasa (minggu lalu), sebelum menjual pada dua hari berikutnya.

"Bagi bulan April hingga Jumaat lalu, belian bersih terkumpul pelabur asing dalam pasaran terbuka Bursa Malaysia adalah berjumlah RM733.7 juta. Pada bulan Mac, pelabur asing membuat jualan bersih RM539.9 juta," katanya menerusi satu nota penyelidikan, hari ini.

Zulkifli berkata, pembelian pada minggu lalu menyaksikan aliran keluar bersih terkumpul pelabur asing bagi 2015 terus berkurangan kepada RM2.62 bilion.

"Sebagai perbandingan, aliran keluar terkumpul pelabur asing bagi seluruh 2014 berjumlah RM6.93 bilion," katanya.

Beliau berkata, penyertaan pelabur asing di Bursa Malaysia berkurangan pada minggu lalu, apabila susut 16 peratus ke paras ketiga terendah tahun ini.

Sementara itu, Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ringgit mendapat momentum dengan peningkatan 3.1 peratus berbanding minggu ke minggu kepada 3.5800.

"Data inflasi yang mencatat angka yang rendah, selain tawaran awam permulaan mega Malakoff yang dijadual pada 15 Mei, dijangka menyokong sentimen pasaran," kata Nazri.

Beliau berkata ini menunjukkan inflasi import yang amat kecil walaupun penurunan ketara ringgit, pelarasan menaik harga bahan api 25 sen seliter dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding suku sebelumnya.

Seorang peniaga pula berkata, ringgit meningkat susulan berita bahawa Canselor Jerman, Angela Merkel mahu mengekalkan Greece di dalam zon euro.

134 dibaca
Berita Harian X