Isnin, 6 April 2015 | 7:26am

BN boleh cipta kejutan di PRK Permatang Pauh

Tanggal 8 April ini, lensa kamera dan tumpuan penuh media pastinya akan terarah kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang bakal menjadi watak penting membuat pengumuman mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Abdul Aziz akan mempengerusikan mesyuarat khas SPR pada Rabu ini, selepas menerima notis kekosongan kerusi itu daripada Dewan Rakyat berikutan penyandang jawatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat bekas pembantunya dan rayuan Pengampunan Diraja yang dikemukakan oleh keluarga Anwar juga ditolak oleh Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu.

Kini, semua pihak tertunggu-tunggu bilakah tarikh penamaan calon, hari pengundian dan lebih menarik, siapa calon yang bakal diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang ataupun mungkin akan ada pesaing ketiga yang menggunakan platform calon Bebas.

Pilihan raya kali keempat

Dalam tempoh tujuh tahun sejak tahun 2008, Permatang Pauh bakal mengharungi pilihan raya kali keempat iaitu, PRU-12, diikuti PRK juga pada 2008, PRU-12 (2013) dan kali ini sekali lagi bakal berdepan PRK baharu yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya sebelum masuk bulan Ramadan (Jun).

PRK Parlimen Permatang Pauh tidak sama seperti PRK lain kerana ada yang menganggapnya seperti 'ibu segala pilihan raya kecil' kerana implikasi serta suasana 'panas' yang sering tercipta di situ.

Rakyat tentunya tidak akan lupa bagaimana mudahnya PKR mempermainkan pengundi pada tahun 2008. Ketika Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi itu dengan majoriti 13,388 undi ketika PRU-12 pada 8 Mac, beliau kemudian meletak jawatan selepas lima bulan dilantik. Ia semata-mata mahu memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ dan akhirnya PRK diadakan pada 28 Ogos yang menyaksikan PKR meraih majoriti 15,671 undi menewaskan calon BN, Arif Shah Omar Shah (15,524 undi) dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat (92 undi).

'Faktor Anwar'

Kali ini, PRK juga diadakan atas 'faktor Anwar'. Cuma jalan cerita berbeza kerana dahulu PRK diadakan selepas Anwar dibebaskan tetapi kali ini ia terpaksa diadakan selepas suami Wan Azizah itu menjalani hukuman penjara.

Menang atau kalah dalam PRK kali ini memang akan memberi impak besar kepada pakatan pembangkang khasnya PKR kerana ketika ini, mereka masih tercari-cari siapa yang bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Anwar.

Sebab itulah penulis katakan, PRK Permatang Pauh seperti ibu segala PRK. Jika mereka kalah, ia akan membuktikan undi simpati kepada Anwar sudah mulai tawar dalam kalangan pengundi yang mungkin sudah bijak menilai belang sebenar calon pilihan mereka.

Cuma, kali ini rencahnya mungkin lebih pedas kerana calon yang bakal bertanding di kerusi tradisi keluarga Anwar itu bukan sahaja bakal berdepan calon BN tetapi juga reaksi sekutu iaitu PAS yang sejak kebelakangan ini kelihatan tidak sebulu dengan PKR dalam banyak perkara.

Bukannya rakyat tidak tahu keputusan PKR dan DAP yang menolak pindaan rang undang-undang jenayah Syariah Kelantan, bahkan atas alasan pelaksanaan hukum hudud itu tidak dipersetujui pada peringkat tertinggi pemimpin pembangkang, sehinggakan ada usaha mahu menyingkirkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. Hakikatnya, Hadi kerap menjadi mangsa dan PRK kali ini adalah detik terbaik untuk menilai tahap ikatan tidak rasmi PKR, DAP dan PAS. Adakah jentera PAS akan turun padang membantu calon pakatan atau sebaliknya.

Reaksi tegas akar umbi PAS

Ketika DAP sudah memutuskan hubungan dengan Hadi, pemimpin PAS peringkat akar umbi segera memberi reaksi tegas mempertahankan Presiden mereka, termasuk Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Pemuda PAS Pulau Pinang yang mengeluarkan kenyataan rasmi pada 25 Mac lalu.

Itu juga satu tamparan kepada DAP dan PKR kerana harapan mereka untuk meraih sokongan PAS di negeri yang diterajui Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu semakin berkecai.

Sebelum ini, Mat Sabu juga dikatakan antara pemimpin yang disenaraikan bakal bertanding bersama kumpulan yang mahu menyingkirkan Hadi dan jika kumpulan pro-Anwarinas itu menang, mungkin hubungan dengan DAP dan PKR akan bertambah pulih.

Di pihak BN pula, mereka seharusnya belajar sejarah atau rekod lampau pilihan raya di Permatang Pauh. Ketika Wan Azizah kali pertama bertanding di situ pada tahun 1999 menentang calon BN, Dr Ibrahim Saad, beliau menang dengan majoriti 9,077 undi. Pada PRU-11 2004, Wan Azizah dicabar bekas imam Masjid Negara dan juga EXCO Pemuda UMNO, Dr Pirdaus Ismail dan hasilnya, undi PKR merudum. Walaupun menang apabila PKR meraih 21,737 undi, tetapi majoriti undi cuma 590 undi selepas Pirduas memberi tentangan sengit dengan meraih 21,147.

Perlu difikirkan apakah kekuatan pada ketika ini bagi memastikan BN dapat mengurangkan 8,487 majoriti undi PKR dan telitilah apakah kelemahan yang ada apabila sokongan kepada BN kembali merosot pada PRU-12 apabila Wan Azizah berjaya meningkatkan majoriti undi kepada 13,388 pada tahun 2008 dan Anwar menambah majoriti kepada 15,671 undi pada PRK 2008.

Ketika PRU-13 pada 2013, calon BN, Dr Mazlan Ismail dapat mengurangkan majoriti undi PKR itu kepada 11,721. Itu membuktikan sokongan itu sentiasa berubah jika kena pada cara dan gayanya. Jika semua parti, terutama BN berjaya memastikan semua 72,496 pengundi berdaftar (setakat Jun 2013) keluar mengundi, sekurang-kurangnya BN masih mampu mencipta kejutan seperti yang dilakukan pada tahun 2004 atau lebih hebat daripada itu.

866 dibaca
Berita Harian X