Isnin, 16 March 2015 | 6:39pm

PRK DUN Chempaka: PAS harap sokongan undi luar jamin kemenangan

KOTA BHARU: PAS mengharapkan sokongan pengundi luar untuk menjamin kemenangan parti dengan majoriti besar sekali gus mempertahankan keputusan yang dimenangi Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka adalah satu cabaran buat parti itu bukan saja untuk mempertahankan kerusi dimenangi, malah mengekalkan rekod cemerlang bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau berkata, walaupun berdepan calon Bebas, namun PAS tetap memandang serius PRK itu dan akan berusaha memastikan jumlah pengundi keluar dengan ramai apatah lagi tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN).

"Semuanya bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar, bagaimanapun kalau kesemua pengundi PAS keluar pada hari pembuangan undi nanti kita bukan saja mampu mempertahankan rekod kemenangan sebelum ini, malah, boleh menang dengan majoriti lebih besar.

"Berdasarkan kepada maklum balas pengundi setakat ini kita amat mengharapkan mereka keluar terutamanya pengundi luar diharapkan mereka pulang menunaikan tanggungjawab.

"DUN Chempaka memerlukan sokongan daripada pengundi luar dan juga tempatan bagi kita menjamin kemenangan," katanya ketika dihubungi di sini.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu yang juga Mursyidul Am PAS Februari lalu akibat kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Nik Aziz berjaya mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal ketujuh selepas menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Sementara itu, calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad ketika ditemui sewaktu berkempen merayu sokongan pengundi di kawasan itu bagi memastikan kemenangan besar parti itu dapat dipertahankan.

Katanya, sehingga kini perjalanan kempen PRK DUN Chempaka berjalan lancar dan beliau akan terus bekerja keras sehingga saat akhir kempen bagi memastikan kemenangan PAS.

553 dibaca
Berita Harian X