Isnin, 16 Februari 2015 | 2:29pm

Nur Fathia, Zul Ariffin duta utama DFKL 2015

KUALA LUMPUR: Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2015), festival drama lebih besar, lebih dramatik serta menyediakan platform untuk menimba ilmu, merasai pengalaman dan meraikan karyawan tempatan kini kembali bagi tahun 2015!

Pada tahun kedua ini, DFKL 2015 yang dibawakan oleh TV3 dan TV9 menjanjikan pengisian yang lebih baik, menarik dan turut menampilkan wajah baru seperti pelakon, pelawak, pengarah filem dan animasi yang terkemuka dan mendapat pengiktirafan tidak hanya dalam industri hiburan tanah air malahan luar negara.

DFKL pada tahun ini turut mengangkat Zul Ariffin dan Nur Fathia sebagai duta utama DFKL 2015. Sementara Nora Danish pula, dilantik sebagai duta media sosial. Mereka akan mempromosikan DFKL 2015 melalui laman sosial.

Mereka juga akan turut serta di sesi jelajah, bengkel dan malam kemuncak Anugerah DFKL 2015. Kali ini, beberapa penceramah berpengalaman akan terbabit dalam bengkel yang bakal diadakan pada 14 dan 15 Mac nanti.

Bukan sahaja mereka yang berpengalaman dari segi lakonan, komedi, pengarahan dan skrip drama malahan, pakar animasi turut terbabit dalam bengkel pada tahun ini.

Antaranya ialah Datuk Yusof Haslam, Sheila Rusly, Remy Ishak, Adi Putra, Syed Nurfaiz Khalid (Les' Copaque), Usamah Zaid (Wau Studio), Nizam (Animonsta), Tariq (Glue Studios) dan ramai lagi.

"DFKL 2015 dilihat sebagai satu platform yang amat tepat untuk memartabatkan industri drama tanah air di mana ia turut menghubungkan karyawan termasuklah pengarah, juru animasi, pelawak dan pelakon dari amatur hinggalah ke profesional untuk saling berkongsi idea.

"Selain itu juga, penganjuran DFKL 2015 turut dapat memanfaatkan kepakaran yang mereka miliki agar ianya dapat dikongsi bersama dan melahirkan generasi baru yang berbakat serta lebih kreatif"," kata Sherina Nordin selaku Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9;

Menurut Sherina lagi, meraikan acara itu, TV3 dan TV9 juga bekerjasama menganjurkan pertandingan drama pendek yang sudah pun dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula 1 November hingga 8 Februari lalu menerusi laman web veedo di www.veedo.my.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM18,000 dan sudah menerima penyertaan yang amat memberangsangkan daripada orang awam. Lebih menarik lagi, drama yang memenangi peraduan ini akan turut berpeluang untuk disiarkan di TV3 dan TV9.

Bagi tahun kedua ini, DFKL 2015 mendapat sokongan yang amat padu daripada karyawan yang teruja untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka sepanjang mereka bergiat dalam industri hiburan dalam sesi bengkel selama dua hari yang dijadualkan bakal berlangsung pada 14 dan 15 Mac 2015 di Balai Berita NSTP nanti.

Antara selebriti dan karyawan yang akan terbabit dalam sesi bengkel pada tahun ini seperti Remy Ishak, Sheila Rusly, Noorkhiriah, Adi Putra, Azman Yahya (Jinggo), Nik Amir Mustapha dan Datuk Yusof Haslam.

Untuk pembelian tiket bagi sesi bengkel DFKL 2015 dan juga mengundi untuk Malam Anugerah DFKL 2015 anda boleh layari laman web rasmi DFKL 2015 iaitu www.dfkl.com.my. Layari juga laman web rasmi TV3 / TV9 di www.tv3.com.my / www.tv9.com.my dan laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube TV3Malaysia / TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai DFKL 2015.

306 dibaca
Berita Harian X