Selasa, 11 Julai 2017 | 9:38pm
BOT nelayan asing yang ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia, kira-kira 54 batu nautika dari Kemaman. - Foto ihsan APMM

Bot nelayan asing ceroboh perairan ditahan


BOT nelayan asing yang ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia, kira-kira 54 batu nautika dari Kemaman. - Foto ihsan APMM

CHUKAI: Sebuah bot nelayan asing ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 54 batu nautika dari Kemaman, petang semalam.

Bot nelayan asing dengan seorang tekong dan 12 awak-awak dipercayai warga Vietnam itu ditahan oleh kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan Operasi Pagar Laut di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE).

Pengarah Maritim Wilayah, Wilayah Maritim Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, tekong bersama awak-awak itu disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah.

"Kapal ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan dan menahan sebuah bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam dengan nombor pendaftaran KG90097TS pada kira-kira jam 5.15 petang semalam.

"Semua mereka yang berumur antara 18 dan 52 tahun, ditahan dan dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman, Terengganu untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

"Selain itu, dokumen permit bot yang meragukan akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak APMM turut merampas hasil sotong yang dianggarkan seberat 1,000 kilogram.

Mamu Said berkata, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama untuk membanteras aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan asing di dalam perairan negara.

239 dibaca
Berita Harian X