Jumaat, 30 Jun 2017 | 10:03pm

500,000 pelarian perang pulang ke Syria

GENEVA: Kira-kira 500,000 rakyat Syria yang meninggalkan kediaman kerana peperangan dilaporkan pulang ke rumah sejak awal tahun ini.

Mereka kembali mencari anggota keluarga dan memeriksa harta benda yang ditinggalkan, kata agensi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Agensi itu berkata, pihaknya melihat sebagai satu aliran spontan yang ketara yang berlaku di Syria tahun ini.

Jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic memberitahu wartawan di Geneva, sejak Januari, kira-kira 440,000 orang meninggalkan negara yang dilanda peperangan, kembali ke rumah mereka, terutama di Aleppo, Hama, Homs dan Damsyik.

Selain itu, sekurang-kurangnya 31,000 pelarian di negara jiran turut pulang ke negara mereka, sekali gus menjadikan jumlah 260,000 pelarian yang pulang ke negara masing-masing sejak 2015.

Bagaimanapun, Mahecic berkata perangkaan itu hanya sebahagian kecil daripada lima juta pelarian Syria dari empat wilayah berkenaan.

Katanya, faktor utama yang mendorong mereka pulang ke rumah ialah bagi mencari anggota keluarga, memeriksa harta benda dan yakin dengan peningkatan keselamatan beberapa bahagian di negara itu.

AFP

63 dibaca
Berita Harian X