Rabu, 28 Jun 2017 | 11:18pm

Piala Konfederasi: Mexico tabik pemain muda Jerman

SOCHI: Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan barisan pemain muda Jerman pada aksi separuh akhir Piala Konfederasi berdasarkan pengalaman yang sudah diperoleh pemain muda skuad terbabit.


JURULATIH Mexico, Juan Carlos Osorio. - Foto EPA

Jerman menghantar pemain termuda pada aksi di Russia itu dengan purata umur pemain adalah 24 tahun.

Meskipun tidak membawa bintang yang membantu mereka muncul juara dunia pada 2014, namun Jerman meraih slot ke separuh akhir selepas mengungguli kumpulan mereka menerusi kemenangan ke atas Australia dan Cameroon sebelum mengikat juara Amerika Selatan, Chile dengan keputusan 1-1.

Osorio menekankan beberapa pemain muda seperti pemain tengah Paris Saint Germain, Julian Draxler, 23, pemain tengah Liverpool, Emre Can, 23 dan pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi, 25 sudah memiliki pengalaman beraksi di liga utama Eropah.

"Anda mungkin adalah pemain yang muda tetapi ada banyak pengalaman.

"Seorang yang berusia 30 tahun yang baharu sahaja mengambil jurusan kardiologi hanya tahu sedikit berbanding pelajar berusia 21 tahun yang sudah bekerja di bilik kecemasan di bandar besar dan mengendalikan banyak pembedahan.

"Pemain seperti Draxler dan Joshua Kimmich sudah beraksi di Liga Juara Juara dan memiliki pengalaman beraksi di Bundesliga meskipun usia mereka masih muda, " kata Osorio.

AFP

126 dibaca
Berita Harian X