Isnin, 26 Jun 2017 | 12:38pm

Loew tak sabar berdepan Mexico


JURULATIH Jerman, Joachim Loew. - Foto EPA

SOCHI (Russia): Jurulatih Jerman, Joachim Loew teruja berdepan Mexico pada aksi separuh akhir Piala Konfederasi, Khamis ini selepas juara dunia itu memintas Chile untuk menjuarai Kumpulan B.

Jerman akan menentang Mexico di Sochi bagi perebutan tempat ke final di Saint Petersburg, Ahad ini manakala Chile bertemu Portugal dalam satu lagi aksi kelompok empat terbaik di Kazan, Rabu ini.

"Perlawanan menentang Mexico pastinya sukar. Mereka pasukan fleksibel dengan pemain yang bagus," kata Loew yang menjadi ketua jurulatih pertama mencapai rekod 100 kemenangan di pentas antarabangsa.

"Kami tidak selalu bermain menentang pasukan dari benua Amerika Selatan, jadi ia sesuatu yang menarik. Namun, kami perlu kekal fokus."

Pemain Jerman, Timo Werner, 21, meledak dua gol pada aksi terakhir kumpulan menentang Cameroon yang beraksi 10 pemain bagi membantu pasukan itu mencatat kemenangan 3-1 sekali gus memiliki kelebihan dua mata ke atas Chile yang seri 1-1 dengan Australia di Moscow.

Selepas Kerem Dimirbay membuka tirai jaringan di Sochi, Werner menjaringkan gol di kedua-dua babak perlawanan sebelum Vincent Aboubakar meledak gol sagu hati buat Cameroon pada minit ke-78.

Cameroon terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ernest Mabouka dibuang padang minit ke-64 susulan terjahan kerasnya ke atas bintang Liverpool, Emre Can. - AFP

217 dibaca
Berita Harian X