Selasa, 20 Jun 2017 | 6:50am

Penuntut bekas tahanan Korea Utara meninggal dunia


Otto Warmbier (tengah). - Foto Reuters

WASHINGTON: Penuntut Universiti Virginia, Otto Warmbier meninggal dunia di sebuah hospital di Cincinnati, beberapa hari selepas dibebaskan daripada tahanan selama 17 bulan di Korea Utara.

Menurut keluarganya dalam satu kenyataan, hasil pemeriksaan doktor mendapati Warmbier mengalami kerosakan otak yang serius.

Pada Khamis lalu, pakar perubatan yang merawatnya berkata, Warmbier tidak menunjukkan tanda-tanda memahami perbualan atau apa yang berlaku di persekitarannya serta gagal membuat sebarang pergerakan.

"Amat malang sekali, penderaan dan layanan tidak sewajarnya yang diterima oleh anak lelaki kami oleh Korea Utara menyebabkan kami menanggung kesedihan seperti yang berlaku hari ini," kata keluarga Warmbier dalam satu kenyataan selepas beliau disahkan meninggal dunia pada jam 2.20 petang (waktu tempatan).

Keluarga Warmbier percaya beliau mulai koma pada Mac 2016, sebaik sahaja dijatuhi hukuman 15 tahun melakukan kerja berat di Korea Utara.

Media Korea Utara melaporkan, penuntut itu ditahan atas kesalahan mencuri barang yang mengandungi slogan propaganda.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan minggu lalu atas dasar kemanusiaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengucapkan takziah kepada keluarga Warmbier.

Trump turut mengecam tindakan Korea Utara dan menyifatkan negara itu 'rejim yang kejam', selain tidak mempunyai asas dasar kemanusiaan. - Reuters

Berita Harian X