Khamis, 29 Jun 2017 - 3:36PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

6 kertas kerja berkaitan OKU dibentangkan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin


KUALA LUMPUR: Enam kertas kerja berkaitan orang kelainan upaya (OKU) akan dibentangkan pada Program Memasyarakatkan OKU (MOKU) 2017 Peringkat Kebangsaan di sini pada 19 dan 20 Julai ini.

Program itu adalah anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata pembentang kertas kerja mencakupi pakar perubatan dari Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pakar bidang Pendidikan Khas dari IPGKIK.

Katanya, selain pembentangan kertas kerja program dua hari itu turut diisi dengan forum bertajuk `Kejayaan Milik Kami' yang menjadi antara daya penarik MOKU 2017 yang menampilkan tiga panel kalangan OKU yang berkongsi pengalaman, kejayaan dan memberikan inspirasi berhubung pencapaian dalam bidang masing-masing.


PENGARAH IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali

Beliau berkata, antara panel terbabit adalah Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, Mohammad Faizal Che Yusof; Pengurus Pusat Advokasi, Penyelidikan dan Empowerment, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia, Wong Yoon Long; dan Kaunselor, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Shamsuri Muhamad.

"MOKU 2017 penting kepada masyarakat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pendidik, bakal pendidik, ibu bapa dan seluruh masyarakat berhubung kesihatan OKU khususnya peringkat kanak-kanak yang dengan sendirinya mereka akan lebih kompeten dalam bidang Pendidikan Khas khususnya dalam aspek kesihatan.

"IPGKIK sebagai institusi pendidikan keguruan yang bitara dalam Pendidikan Khas amat komited akan peranan dan tanggungjawab sosial ini untuk memupuk kesedaran dan sikap prihatin masyarakat terhadap kesihatan komprehensif kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DUA siswa guru Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) mendapat manfaat IPGKIK Program Memasyarakatkan Orang Kurang Upaya (MOKU) 2017 Peringkat Kebangsaan anjuran IPGKIK di kampus IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto IPGKIK

Trending

    Disyorkan