Isnin, 19 Jun 2017 | 8:58pm
PEGAWAI Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, menemui mercun yang disembunyikan oleh penjual bunga api semasa serbuan di Pasar Keramat, awal pagi tadi. - Foto JKDM

Guna 'jaga air', WhatsApp sebar maklumat operasi mercun


SERBUAN mercun di sekitar Shah Alam, Klang dan Pasar Keramat oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Penjual mercun di sekitar Lembah Klang akan bertindak menyembunyikan bahan letupan yang terlarang sekiranya mendapat maklumat atau mengetahui mengenai sesuatu operasi yang bakal dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam operasi khas Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Selangor, bersama BH malam tadi, sekumpulan penjual mercun di kawasan Pasar Keramat di sini, bertindak menyembunyikan mercun dalam kenderaan yang diletakkan di hadapan gerai menjual bunga api.

Selain itu, ada peniaga yang cuba bertindak membawa lari mercun ke kawasan tersembunyi sebaik dimaklumkan oleh 'jaga air' atau individu yang diupah untuk menyampaikan informasi tentang kehadiran JKDM sebaik mereka memasuki Jalan Datuk Keramat serta Jalan Jelatek.

Penolong Pengarah Kastam, Cawangan Siasatan/Operasi, JKDM Selangor, Ahmad Hilmi Ghazali, berkata selain sumber dari 'jaga air', maklumat kehadiran pegawai penguatkuasaan juga turut disebarkan melalui aplikasi WhatsApp antara semua penjual mercun sekitar Ampang dan Keramat.

"Sebagai contoh, apabila pegawai JKDM melakukan serbuan pertama di premis atau gerai menjual mercun sekitar kawasan Ampang Point, penjual mercun dan bunga api di kawasan lain akan menerima maklumat tentang serbuan berkenaan dalam masa singkat.

"Kesan dari itu, penjual mercun di kawasan berhampiran akan menyembunyikan mercun yang dilarang dalam kereta atau membawanya ke lokasi lain bagi mengelak dari ditangkap, selain bahan jualan mereka dirampas," katanya ketika operasi berkenaan.

Hilmi berkata, setiap pegawai dan anggota JKDM tidak boleh sewenang-wenangnya menjalankan pemeriksaan dalam kenderaan yang disyaki tanpa sebarang maklumat kukuh, melainkan mereka benar-benar melihat dan mempunyai bukti.

Dalam operasi bermula jam 5 petang hingga 3 pagi itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor, menjalankan pemeriksaan dan serbuan di Seksyen 13, Seksyen 17 dan Taman Sri Muda, Shah Alam serta kawasan Ampang Point dan Pasar Keramat, di sini.

"Kita menahan dua penjual bunga api warga tempatan berusia 36 dan 48 tahun di Pasar Keramat, selepas didapati memiliki mercun yang tidak dibenarkan dan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

"Dua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat JKDM Selangor di Pelabuhan Klang sebelum dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang, selain semua mercun milik mereka dirampas," katanya.

40 dibaca
Berita Harian X