Ahad, 25 Jun 2017 - 3:11PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

RM6.1 juta untuk terangi jalan kampung di Kedah

Oleh Adha Ghazali; Petah Wazzan Iskandar dan Muhammad Mustakim Ramli



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan lampu jalan kampung ketika Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Pering, Kodiang. - Foto NSTP/Amran Hamid

JERLUN: Datuk Seri Najib Razak, melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung Fasa 8 (LJK8) peringkat kebangsaan membabitkan peruntukan keseluruhan RM100 juta.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM250 juta yang diperuntukkan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) melalui lapan fasa sejak 2003, dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak selaku agensi pelaksana.

Pelancaran projek itu disempurnakan sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Kampung Pering, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd.

Perdana Menteri ketika berucap berkata secara keseluruhan 422,000 unit lampu jalan kampung akan dipasang di seluruh negara melalui fasa 1 hingga 8 projek itu termasuk 122,133 melalui LJK8.

Bagi Kedah sahaja, katanya RM6.1 juta diperuntukkan untuk menyediakan 893 unit lampu jalan di semua 15 Parlimen termasuk Jerlun yang membabitkan 96 kampung.

"Ini semua adalah sebahagian daripada bajet RM100 juta yang saya umum tahun lalu untuk seluruh negara, kita harap apabila orang kampung nampak lampu yang kita pasang itu bercahaya, maka mereka akan nampak bersinarlah harapan kita," katanya secara berseloroh.

Sebelum ini Perdana Menteri melancarkan LJK8 di peringkat negeri Pahang, Perak dan Negeri Sembilan yang dilaksana bagi memastikan keperluan bekalan elektrik mencukupi dan berdaya harap untuk rakyat khususnya di luar bandar dapat dipenuhi.


Trending

    Disyorkan