Ahad, 25 Jun 2017 - 3:00PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pengedar serbuk dadah tumpas

Oleh Safeek Affendy Razali



PAKET serbuk dadah methamphetamine jenis 'Apache Ice Cool Lemon Tea' untuk kegunaan pengunjung pusat hiburan dirampas dalam dua serbuan di Jalan Pudu dan Bukit Bintang, ibu negara, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: Enam lelaki dan tiga wanita dipercayai pengedar serbuk dadah disasar untuk pengunjung pusat hiburan sekitar ibu negara ditahan dalam serbuan di sekitar ibu negara, Jumaat lalu

Kesemua mereka berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan dalam dua serbuan hasil maklumat dan perisikan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Daerah Wangsa Maju.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Faisal Yahya, berkata berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di kawasan Pudu, di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg galas wanita terbabit, polis merampas 100 paket plastik biru bertulis 'Apache Ice Cool Lemon Tea' disyaki campuran serbuk dadah methamphetamine seberat 2.9 kilogram.

"Susulan dari soal-siasat yang dijalankan ke atas suspek terbabit, polis menyerbu sebuah kediaman di Bukit Bintang dan menahan lima lelaki serta dua wanita selain merampas 10 paket dadah sama dalam rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata polis juga turut menemui satu paket dadah syabu seberat 0.37 gram serta tiga biji pil eramin five yang secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM224,395.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Setapak, di sini, jam 1 pagi Sabtu lalu.

Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas lima paket dadah syabu seberat 260 gram; (5) paket serbuk putih disyaki dadah, 200 gram; 200 biji pil eramin 5 dan 12 biji pil ecstasy yang secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM60,500 serta sebutir peluru 9mm Luger.

Mohd Faizal berkata dengan kejayaan itu, pihaknya yakin dapat menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah oleh warga tempatan yang aktif di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

 

TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Faisal Yahya.
PAKET serbuk dadah methamphetamine jenis 'Apache Ice Cool Lemon Tea' untuk kegunaan pengunjung pusat hiburan dirampas dalam dua serbuan di Jalan Pudu dan Bukit Bintang, ibu negara, Jumaat lalu.

Trending

    Disyorkan