Isnin, 19 Jun 2017 | 5:32pm

Kena 34 tahun penjara rogol anak saudara


BEKAS anggota tentera dihukum penjara 34 tahun dan 23 sebatan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini. - Foto Siti Nor Hidayati Idayu Razali

KOTA BHARU: Seorang bekas tentera dihukum penjara 34 tahun dan 23 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak saudaranya berusia lapan tahun, pada dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail mengenakan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 40 tahun selepas didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Bagi kesalahan rogol, tertuduh dihukum penjara selama 24 tahun serta 15 sebatan, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 24 Januari 2016.

Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan lapan sebatan yang diarahkan berjalan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia lapan tahun di sebuah rumah di Kampung Redang, Bachok, dekat sini pada jam 6 petang, 30 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggalakkan mangsa untuk melakukan kelucahan melampau pada jam 6 petang, 5 November 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias, mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar kejadian itu tidak berulang.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya dikurangkan atas alasan mempunyai tiga anak yang masih kecil.

970 dibaca
Berita Harian X