Khamis, 29 Jun 2017 - 3:19PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tentera Filipina temui dadah AS$5 juta di Marawi

BANDAR MARAWI: Tentera Filipina menemui dadah jenis methamphetamine bernilai antara AS$2 juta hingga AS$5 juta (RM8.5 juta hingga RM21.3 juta) ketika operasi membersihkan kedudukan pemberontak di bandar yang dikepung itu, kata pegawai hari ini.

Ia sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa kumpulan militan Islam dibiayai perdagangan narkotik.

Sebelas beg berisi syabu, nama tempatan untuk methamphetamine, ditemui bersama empat senapang di dapur sebuah rumah dua tingkat, dipercayai dihuni pejuang dari kumpulan militan Maute.

"Ini menguatkan penemuan kami bahawa pengganas menggunakan dadah yang tidak dibenarkan," kata komander tentera Mejar Jeneral Carlito Galvez di barat Mindanao, dalam satu kenyataan.

Presiden Rodrigo Duterte, yang melancarkan 'perang kejam ke atas dadah' selepas memimpin negara itu tahun lalu, berkata pejuang Marawi dibiayai oleh pedagang-pedagang dadah di Mindanao.

Pertempuran di Bandar Marawi meletus pada 23 Mei lalu selepas serbuan oleh pasukan keselamatan di tempat persembunyian militan Maute.

Kumpulan lelaki bersenjata yang berikrar taat setia dengan Daesh bertindak menawan jambatan dan bangunan serta menahan tebusan.

Duterte bertindak balas dengan mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanao.

Diberitakan, hampir 350 orang, termasuk 257 militan, 62 askar dan 26 orang awam, terbunuh sepanjang empat minggu pertempuran. - REUTERS


Trending

    Disyorkan