Isnin, 19 Jun 2017 | 4:05pm

86,015 tangkapan dadah sejak 1 Januari


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (kiri) menunjukkan rampasan dadah disyaki jenis syabu ketika sidang media JSJN di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Foto BERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA[FOTO AMIRUL AZMI /BH]

KUALA LUMPUR: Sebanyak 86,015 tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas individu terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, membabitkan nilai RM107.68 juta, dalam tempoh enam bulan sehingga Khamis lalu.

Daripada jumlah itu, 82,333 tangkapan membabitkan warga tempatan manakala 3,682 lagi adalah warga asing.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata seramai 12,075 ditahan atas kesalahan membekalkan dadah, 27,554 (memiliki) dan 46,386 lagi selepas ujian air kencing mendapati positif dadah.

"Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu, kita merampas pelbagai jenis dadah sintetik membabitkan syabu (503.08 kilogram (kg); 90.41kg ketamin; pil ekstasi (109,183 biji); pil yaba (773,635) dan pil erimin 5 (2,640,854 biji).

"Turut dirampas, 791.29kg ganja dan 253.47kg heroin. Selain itu, harta milik suspek berjumlah RM75.15 juta disita dan RM2.35 juta lagi dilucut hak," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, Mohd Mokhtar mengumumkan kejayaan terbaru JSJN menahan lapan warga Nigeria dan seorang Uganda yang mendalangi sindiket dadah antarabangsa dalam empat serbuan berasingan di Wangsa Maju, Jumaat lalu.

Katanya, lima daripada warga Nigeria yang ditahan adalah pelajar kolej berdasarkan kad pelajar yang ada dalam simpanan mereka ketika pemeriksaan.

Bagaimanapun, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kad berkenaan.

"Dalam serbuan pertama di Taman Danau Kota, kami menahan tiga lelaki dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka menemui satu kilogram syabu yang disorokkan di dalam dua kotak kek dengan nilai pasaran RM100,000.

"Susulan daripada tangkapan itu, kita membuat serbuan ke tiga lokasi di Jalan Danau Niaga, Jalan Danau dan Jalan Pahang dan menahan enam lagi suspek," katanya.

Beliau berkata, semua warga Nigeria berusia antara 25 hingga 39 tahun serta warga Uganda berusia 25 tahun itu kini direman sehingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959.

50 dibaca
Berita Harian X