Isnin, 19 Jun 2017 | 4:00pm

4 remaja didakwa bunuh Nhaveen


EMPAT lelaki termasuk dua pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Georgetown, hari ini, atas pertuduhan membunuh bekas rakan sekolah mereka pada 9 Jun lalu. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Empat lelaki termasuk dua pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bekas rakan sekolah mereka pada 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa ke atas J Ragesuthen, 18, dan S Gokulan, 18, serta dua tertuduh bawah umur di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Semua mereka didakwa membunuh T Nhaveen, 18, berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 9 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Amin kemudian mengarahkan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin, selain menetapkan 28 September hadapan bagi sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen di sini, keempat-empat tertuduh turut mengaku tidak bersalah kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata ke atas T Previin, 19, pada tarikh yang sama.

Semua tertuduh membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mereka dituduh menyebabkan kecederaan parah ke atas Previin dengan menggunakan topi keledar di Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Gelugor di sini, antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Irwan kemudian mengarahkan semua tertuduh tidak dibenar diikat jamin, selain menetapkan 21 Ogos hadapan bagi sebutan semula itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sim dan Nurul Fatin Hussin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

155 dibaca
Berita Harian X