Isnin, 19 Jun 2017 | 11:33am

Mora kembali bimbing JDT II


BENJAMIN Mora. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Ketika saingan Liga Super bakal bersambung awal bulan depan, kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) bertindak mengembalikan Benjamin Mora ke Johor Darul Ta'zim II (JDT II) untuk membimbing semula pasukan itu.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards mengesahkan perkembangan baharu itu dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, hari ini.

Katanya, Mora memiliki kredibiliti untuk membimbing barisan muda termasuk bagi menaikkan kualiti permainan terutama membabitkan pemain seperti Muhd Fazly Mazlan, Dominic Tan, Mohd Afiq Fazail dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.

"Untuk sementara, Ismail Ibrahim dan Raul Longhi akan membimbing JDT sebelum kami akan mengumumkan jurulatih baharu skuad itu bagi mengharungi saingan liga elit domestik dan Piala Malaysia yang bermula pada bulan depan.

"Mora melaksanakan tugas dengan baik dan beliau juga mengikut sistem tatkala tidak menghabiskan wang yang banyak untuk mendapatkan pemain baharu malah beliau memahami kehendak dan falsafah kelab," katanya.

Bagi mengharungi kempen liga selepas gagal mempertahankan Piala FA, skuad Harimau Selatan membawa masuk dua muka baharu iaitu Mohammed Ghaddar dan pemain kacukan, Ignacio Insa.

Skuad Harimau Selatan tidak mendapatkan khidmat penjaga gol baharu susulan penggantungan Mohd Farizal Marlias dan sebaliknya terus mempertaruhkan Izham Tarmizi Roslan dan Muhammad Haziq Bin Nadzli mengemudi gawang JDT.

Mohd Farizal tidak dapat meneruskan khidmat apabila digantung setahun oleh Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) akibat kekasaran terhadap pengadil perlawanan ketika aksi separuh akhir Piala AFC menentang kelab dari Filipina, Global FC.

Edwards turut mengucap terima kasih kepada Mora di atas usahanya dan kerja keras membimbing JDT dengan berdedikasi apabila berusaha menaikkan imej kelab berkenaan.

"Beliau adalah seorang jurulatih muda yang berpotensi dan kami yakin beliau akan menjadi seorang jurulatih yang lebih baik pada masa akan datang," kata Edwards.

Berita Harian X