Ahad, 18 Jun 2017 | 5:59pm

Imran niat dirikan rumah tangga


PENYANYI Kota Singa, Imran Ajmain. - Foto Salhani Ibrahim

SINGAPURA: Penyanyi Kota Singa, Imran Ajmain menyatakan pendirian dan niat untuk lebih serius dalam perhubungan selain bersedia mendirikan rumah tangga bersama wanita yang kini dikatakan masih 'sedang' dikenalinya.

Katanya, pada usianya yang kini sudah 36 tahun, beliau tidak meletakkan perkara lain sebaliknya lebih serius dan memikirkan soal berumah tangga.

"Ada kawan tetapi belum serius, sudah tentu (nak berumah tangga). Kalau dah lebih 30 (usia) tu kita berkawan dah tiada niat lain, saya pun fokus dan komited pada kerja (nyanyian) sudah 10 tahun.

"Ibu saya juga kini berseorangan dan dia tidak mahu ke Kuala Lumpur, jadi jika saya nak ubah situasi itu saya kena berteman (berkahwin) untuk temankan dia juga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi temubual dan fotografi program Riang Ria Aidilfitri bersama Imran Ajmain yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Dalam program itu, pengamal media dibawa ke CelebFest Ramadan 2017 di Suntec Singapore Convention Centre, semalam selain pelancaran album mini berjudul Aidilfitri yang memuatkan empat lagu iaitu Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Joget Aidilfitri nyanyian asal oleh Sanisah Huri serta Suasana Riang Di Hari Raya (Junainah M amin).

Imran berkata, beliau akan meletakkan perbezaan dan tidak akan mencampurkan terutama dalam urusan karier seni dan hal peribadi.

"Saya tidak perlu merahsiakan dia siapa (kenalan) dan pada masa sama saya tidak perlu menguar-uarkan atau buat sidang media. 

"Sampai satu masa (yang sesuai) saya sangat bersedia (memaklumkan pada umum). Tiada masalah. Tak perlu merahsiakan itu adalah prinsip saya," katanya.

Berita Harian X