Khamis, 29 Jun 2017 - 3:21PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Awie, Sharifah Ladyana beraya di Thailand

Oleh Zaidi Mohamad



DATUK Awie bersama isteri baharunya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Awie, memaklumkan bakal meraikan Aidilfitri kali ini bersama isteri baharunya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin di Thailand.

Begitupun, hanya mereka berdua akan ke sana kerana menurut vokalis Wings ini, anak-anak pula akan menyambut detik 1 Syawal bersama ibu mereka.

Sempena kedatangan hari mulia berkenaan tahun ini, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, turut mengharapkan dirinya dan insan tersayang dilimpahi keberkatan.

"Inilah takdir hidup saya untuk beraya bersama isteri baharu. Semoga Syawal kali ini bakal memberikan kebahagiaan dan detik penuh pengertian untuk kami, saat meneruskan kehidupan yang masih bersisa.

"Tahun ini, saya akan beraya di Siam. Anak pula kemungkinan balik beraya dengan ibu mereka.

"Saya sendiri sudah lama tidak berjumpa dengan anak daripada perkahwinan kedua saya. Cuma abang mereka, Putra Ahmad Merrah, yang tinggal bersama saya," kata Awie.

Sementara itu, ditanya sama ada Sharifah Ladyana, yang dikahwininya pada Oktober tahun lalu di Songkhla, sudah pun berbadan dua, beliau berkata, isterinya belum lagi diberikan rezeki untuk hamil.

"Sebaliknya, saya yang berisi (naik berat badan). Selalunya, seperti menerusi perkahwinan pertama dan kedua, hanya selepas setahun lebih, barulah soal hendak menimang anak difikirkan. Perkahwinan kali ini pun begitu juga.

"Dalam hal ini, saya bukannya merancang. Kalau boleh, memanglah saya nak cepat dapat anak (dengannya). Maklumlah, umur pun bukan makin menurun," katanya.

Sebelum ini, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Arni Nazira Anuar, pada 1998. Mahligai mereka bagaimanapun hanya bertahan selama lapan tahun. Beliau kemudian menikahi Rozana Misbun pada 2006, tetapi kedua-duanya tidak lagi tinggal sebumbung sejak 2014.

Menerusi perkahwinan dengan Arni, Awie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha. Bersama Rozana pula, beliau dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.


Trending

    Disyorkan