Khamis, 29 Jun 2017 - 3:34PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Fikry pernah menganggur 3 bulan

Oleh Zaidi Mohamad



FIKRY atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bakat baharu kelahiran program Lawak Solo, Fikry Ibrahim, mengaku pernah berasa putus asa selepas menamatkan program realiti berkenaan, penghujung tahun lalu.

Fikry, 23, berasal dari Kedah berkata, sebaik saja memenangi tempat ketiga rancangan terbabit, beliau berasakan perjalanannya dalam dunia seni agak sukar.

"Selepas Lawak Solo berakhir, hampir tiga bulan juga saya menganggur tanpa sebarang tawaran kerja. Ketika itu, terbit rasa putus asa dalam diri dan saya mengambil keputusan pulang ke kampung halaman untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Namun berkat kesabaran, semuanya berubah. Malah, selepas menyertai syarikat pengurusan Laugh Out Loud Entertainment milik Dafi dan rakan kongsinya, kerjaya saya juga semakin lancar," katanya kepada BH Online.

Ketika ini, Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim semakin mendapat perhatian apabila beliau berpeluang menonjolkan kemampuan lakonannya menerusi drama rantaian popular, Hero Seorang Cinderella.

Drama terbabit menampilkan pelakon sensasi yang juga Bintang Paling Popular, Fattah Amin, dan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Nur Fazura.

Mula berasakan lonjakan dalam kerjaya seninya, Fikry turut memberitahu jumlah pengikutnya di laman sosial juga bertambah dengan mendadak selepas berlakon dalam drama berkenaan.

"Sebelum memasuki Lawak Solo, jumlah pengikut saya di Instagram hanyalah kira-kira 500 orang. Selepas rancangan realiti itu disiarkan, jumlahnya meningkat kepada 20,000 orang.

"Kini, saya sendiri tidak menyangka pengikut saya bertambah sehingga 151,000 orang di laman bergambar berkenaan, " katanya sambil meluahkan kesyukuran.

Bercerita mengenai sambutan Hari Raya, Fikry berkata beliau akan pulang ke Jitra untuk meraikan detik 1 Syawal bersama keluarga.

"Jika tiada halangan, saya akan bercuti selama seminggu atau lebih. Semuanya bergantung kepada keadaan.

"Menyentuh soal raya juga, dulu saya sendiri yang membeli baju untuk dipakai pada hari mulia. Namun, kali ini ada pihak yang sudi menghadiahkan baju raya kepada saya.

"Ketika ini, saya ada empat helai kurta baharu yang boleh dipakai pada musim Syawal nanti, " kata anak sulung daripada empat beradik itu.


Trending

    Disyorkan