Ahad, 18 Jun 2017 | 12:57pm

Ramona tolak tawaran berlakon selepas hamil


RAMONA Zamzam.

KUALA LUMPUR: Pelakon Ramona Zamzam terpaksa menolak tiga tawaran berlakon apabila kandungannya semakin kelihatan selepas usia kehamilan mencecah empat bulan.

Menurut Ramona atau nama penuhnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 27, beliau berbuat demikian kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi.

"Ada tiga tawaran berlakon yang terpaksa saya tolak, termasuklah drama 26 episod. Saya berbuat begitu pun kerana tidak mahu susahkan produksi.

"Pada awal kehamilan dulu, mungkin saya masih boleh menyorok perut yang belum membesar. Namun, kalau sudah kelihatan, macam mana nak sembunyikan lagi?" katanya kepada BH Online.

Buat waktu ini, Ramona yang berkahwin dengan lelaki Palestin, Rami Alashkar, pada 1 Mei 2015, lebih banyak menghabiskan masanya di rumah.

Kata pelakon yang dikenali dengan drama Cinta Ilahi itu, asalnya mereka berhasrat untuk menikmati dulu fasa kehidupan berdua sebagai suami suami. Justeru, berita kehamilan yang diterima dianggapnya sebagai rezeki tanpa diduga anugerah Yang Maha Esa.


RAMONA dan suaminya, Rami Alashkar.

"Saya dapat tahu mengenai kehamilan ini pada bulan pertama kandungan. Namun, ketika itu saya memilih untuk tidak menghebahkannya dulu. Cuma baru-baru ini saja saya berkongsi berita gembira berkenaan di laman Instagram.

"Saya sendiri tak sangka rezeki ini datang selepas dua tahun berkahwin. Walaupun awal-awal dulu memang kami ingin menikmati detik berdua buat seketika. Begitupun, saya percaya rezeki untuk menimang anak akan datang juga.

"Malah, dalam hati saya pernah terdetik, selepas memiliki lesen menyelam pada Mac lalu di Pulau Tioman, saya memang bersedia untuk ke arah ini. Akhirnya ia menjadi kenyataan juga," katanya.

Kongsi Ramona lagi, sejak dirinya disahkan hamil, suaminya bukan sekadar cukup mengambil berat mengenai dirinya, malah lelaki itu juga menjadi lebih rajin.

"Sekarang, saya tidak lagi dibenarkan melakukan kerja berat, termasuk mencuci bilik air. Nampaknya, dialah yang kini rajin melakukannya. Saya terasa diri dilayan bagai puteri raja ketika ini," katanya sambil ketawa kecil.

Menyentuh soal sambutan 1 Syawal, Ramona memberitahu, beliau dan suami akan pulang beraya di Ipoh, Perak, tahun ini.

Berita Harian X