Ahad, 18 Jun 2017 | 7:01am

Volkswagen perkenal 4 varian ditambah baik


PENGARAH Urusan VPCM, Erik Winter ketika melancarkan model Vento ALLSTAR dan Vento GT di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan model yang ditambahbaik, Beetle, Vento ALLSTAR dan Vento GT bagi memberi kelainan dan pilihan baharu kepada pasaran Malaysia.

Edisi terkini Beetle enjin 1.2L turbocaj automatik itu ditawarkan dalam dua varian, Beetle Design dan Beetle Sport.

Beetle Design ditawarkan pada harga bermula RM136,888 seunit, manakala varian Beetle Sport RM147,000 seunit.

Antara penambahbaikan pada Beetle baharu itu ialah sistem pendingin hawa dua zon Climatronic, komposisi media dengan paparan skrin sentuh bersama App-Connect, tempat duduk balutan kulit Vienna dan lampu utama bi-xenon serta lampu nyalaan siang LED.

Pemanduan mengujakan

Gabungan enjin TSI 1.2L dengan pengecas turbo berkuasa 105PS dan transmisi automatik DSG 7 kelajuan bersama tork maksimum 175Nm memastikan pemanduan yang mengujakan.

Kedua-dua varian itu didatangkan dalam enam pilihan warna iaitu putih (Pure White), merah (Tornado Red), biru (Blue Silk), tembaga (Dark Bronze), jingga (Habanero Orange) dan perak (White Silver).

VPCM juga memperkenalkan Vento ALLSTAR, iaitu edisi ALLSTAR kedua yang diperkenalkan syarikat selepas Polo ALLSTAR, baru-baru ini.

Sedan menggunakan enjin 1.6L MPI automatik itu ditawarkan pada harga bermula RM78,888 seunit dengan dua pilihan warna iaitu perak (Reflex Silver) dan putih (Candy White).

Jentera 1.6L MPI dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan bersama fungsi Tiptronic. Sebagai bonus, Vento ALLSTAR dipasang dengan aplikasi MyVW Drive yang memberi kemudahan di hujung jari.


VARIAN Beetle baharu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Vento GT lebih lasak

Selain itu, Vento GT dengan enjin 1.2L TSI yang lebih lasak juga diperkenalkan. Ia ditawarkan pada harga RM89,888 dan hadir bersama aksesori ekslusif bernilai RM9,000.

Antaranya, bumbung dan balutan cermin sisi berwarna hitam‚ satin', jalur hitam pada pintu dan kemasan belakang, tempat duduk kulit, GT aerokit, pedal sports aluminium dan plat sisi.

Ia berkeupayaan menghasilkan tork maksimum 175Nm, tertinggi dalam kelasnya. Vento GT didatangkan dalam dua pilihan warna, perak (Reflex Silver) dan putih (Candy White).

"Kami bukan saja mahu kenderaan kami lebih mudah diakses rakyat Malaysia, malah kami mahu memberikan mereka lebih banyak pilihan dengan nilai tambah," kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter pada majlis pelancaran model itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Info:
Tawaran harga bermula

  • Beetle Design RM136,888
  • Beetle Sport RM147,000
  • Vento ALLSTAR RM78,888
  • Vento GT RM89,888
88 dibaca
Berita Harian X