Sabtu, 17 Jun 2017 | 11:06pm

Tiada laporan orang hanyut dalam banjir - Bomba

KAJANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, masih belum dapat memastikan keadaan sebenar individu yang dilaporkan hanyut seperti yang tersebar dalam satu video menerusi laman sosial.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kejadian berkenaan dikesan semasa kejadian banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, sekitar jam 4 petang tadi.

"Setakat ini pihak bomba belum menerima sebarang maklumat mengenai orang hilang dari mana-mana penduduk di kawasan berhampiran.

"Namun kita akan terus menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya benar individu itu hanyut," katanya ketika dihubungi.

Ini kerana, katanya, pihak bomba tidak mengetahui sekiranya lelaki terbabit berkemungkinan sudah menyelamatkan dirinya atau sebaliknya.

"Jika dilihat pada maklumat yang diterima, dia dirakam hanyut semasa banjir di Dusun Tua, yang akan membawanya ke Sungai Serai, namun pada masa itu keadaan di sungai berkenaan surut dan berkemungkinan besar dia sudah terselamat dari banjir," katanya.

Dalam video berdurasi 44 saat itu, seorang penunggang motosikal dibawa arus sambil beberapa penduduk di kawasan berhampiran menjerit dan mengarahkannya menuju ke tebing sungai.

Bagaimanapun nasib lelaki itu tidak diketahui selepas dia dihanyutkan ke arah Sungai Serai.

Dalam perkembangan berkaitan, JBPM Selangor kini sudah menggerakkan tiga unit bot penyelamat ke kawasan yang masih ditenggelami air di Hulu Langat.

Selain itu, tumpuan utama pada masa ini adalah memindahkan penduduk di kawasan yang dikategorikan sebagai berisiko.

46 dibaca
Berita Harian X