Ahad, 25 Jun 2017 - 3:11PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Slogan 'Jom Bantu Rakyat' milik BN - PM

Oleh Abdul Razak Raaff; Amin Ridzuan Ishak dan Nik Sukry Ramli



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan solat Tarawih di Masjid As-Sakinah Kampung Serambi, Pekan, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata tidak ada pihak lain yang berhak menggunakan slogan 'Jom Bantu Rakyat' kecuali kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, program itu sentiasa dilaksanakan daripada peringkat kerajaan Pusat, negeri, pejabat Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), UMNO dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pelbagai bantuan lain kepada rakyat kerana kita letakkan rakyat sebagai tanggungjawab kita sebagai pemimpin.

"Kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan slogan 'Jom Bantu Rakyat' akan terus diperluaskan lagi pada masa akan datang," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap selepas solat Isyak dan Tarawih di Masjid As-Sakinah Kampung Serambi, dekat sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 171 ibu tunggal, warga emas dan anak yatim daripada sekitar kampung berkenaan.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd Arif, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Penghulu Mukim Pulau Manis, Mohd Ismail Zulkifli.

Selain itu, Perdana Menteri turut meluluskan pembinaan masjid baharu menggantikan Masjid As Sakinah yang uzur dan sering dilanda banjir.


Trending

    Disyorkan