Sabtu, 17 Jun 2017 | 10:10pm

Muhyiddin hanya menangguk di air keruh


AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersalaman dengan anak yatim ketika hadir pada Program Kasih Ramadan di Hotel Perdana di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menjawab isu skandalnya terlebih dahulu sebelum menyentuh isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) turut meminta Muhyiddin mengisytiharkan harta kekayaan yang dimiliki anaknya.

"Saya cabar sekiranya benar dia (Muhyiddin) mahu jadi pemimpin bermaruah, jawab dulu tuduhan yang dikemukakan EXCO ARMADA PPBM, Mohamed Hafiz Azhar mengenai skandalnya dengan Nika Ghee dan harta kekayaan kaum keluarganya.

"Kalau dia tidak mampu menjawabnya, dia tidak layak menyentuh isu DoJ dan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta 1MDB.

"Saya menganggap Muhyiddin hanya menangguk di air keruh dengan menggunakan kenyataan DoJ untuk memfitnah Perdana Menteri," katanya pada sidang media Program Kasih Ramadan di Hotel Perdana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Puad mempersoalkan bagaimana Muhyiddin boleh menggunakan saman DoJ sebagai bahan untuk membuat tuduhan liar terhadap pemimpin negara sedangkan Muhyiddin sedar perkara itu baru memohon di mahkamah.

"Malah, permohonan yang dibuat itu tidak disertakan sebarang dokumen pembuktian, namun Muhyiddin boleh menjadikan perkara itu untuk memfitnah Perdana Menteri.

"Ini permohonan kedua DoJ dan permohonan pertama tahun lalu pun sehingga kini tiada perbicaraan.

"Saya tekankan di sini, di Malaysia sendiri kita sudah membuat siasatan menyeluruh berhubung isu 1MDB dan disebabkan itu, kita merasakan ada agenda pihak luar yang cuba menjatuhkan kepimpinan negara," katanya.

91 dibaca
Berita Harian X