Sabtu, 17 Jun 2017 | 12:06pm
ABD Razak (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Telok Mas di Bandar Hilir, Melaka. - Foto Amir Mamat

PRU14: BN mampu rampas DUN Duyong, Kesidang

MELAKA: Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka yakin boleh merampas kembali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kota Melaka daripada DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketuanya, Datuk Abd Razak Abd Rahman, berkata kerusi DUN terbabit adalah Duyong dan Kesidang, kedua-duanya gagal dipertahankan Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu.

Katanya, berdasarkan gerak kerja jentera parti sejak beberapa tahun lalu menunjukkan peluang cerah untuk BN memenangi kedua-dua kerusi berkenaan.

"Ia ditambah dengan perpecahan dalaman DAP menyebabkan dua wakil rakyat yang memenangi kerusi berkenaan keluar parti dan menjadi Bebas.

"Kita yakin, usaha ini (merampas kerusi Duyong dan Kesidang) akan berhasil pada PRU akan datang, " katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Telok Mas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Penerangan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil.

Abd Razak yang juga Bendahari Pemuda UMNO, berkata jenteranya sedia menjadi benteng untuk mempertahankan satu-satunya kerusi UMNO dalam Parlimen terbabit iaitu di Telok Mas.

"Kita akan pastikan DUN Telok Mas kekal milik BN dan lakukan yang terbaik untuk mengembalikan beberapa kerusi yang dikuasai pembangkang ketika ini kepada BN," katanya.

Berita Harian X