Sabtu, 17 Jun 2017 | 8:35am

Undang-undang rimba punca kes buli


ANTARA beberapa kes buli yang mendapat liputan akhbar BH.

PELBAGAI peristiwa memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi mengamalkan budi bahasa sebagai budaya hidup. Isu gengsterisme dan buli seolah merajai masyarakat dewasa ini yang boleh menggugat perpaduan kaum, selain dera yang membawa kematian.

Isu gengsterisme ataupun bahasa pasarnya - samseng - berlaku pantas pada masa ini seperti kejadian antara pelakon dan pengarah popular tanah air ketika Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) di hadapan Perdana Menteri sendiri.

Bagaimanapun, ia berjaya ditangani apabila kedua-duanya saling bermaafan sejurus kemudian. Selain itu, di Pulau Pinang, seorang bekas polis ditampar tatkala bertanya soalan yang sekadar mahu membawa idea dan perbincangan, seolah-olah membawa mesej, siapa persoal, akan ditampar!

Antara kisah yang menjadi viral ialah kes berebut tempat letak kereta di bazar Ramadan apabila ada pihak yang tidak berpuas hati bertindak membaling selipar dan menunjukkan isyarat yang tidak sopan kerana terlalu marah.

Tidak dilupakan juga kisah pegawai polis wanita dihadang ketika menjalankan tugas oleh pasangan suami isteri yang tidak puas hati apabila cuba disaman atas kesalahan yang dilakukan. Isu gengsterisme ini juga turut membabitkan mereka yang mempunyai gelaran mahupun ahli politik.

Cabaran yang dikemukakan sesama ahli politik kadang-kala menimbulkan interpretasi negatif rakyat terhadap pemimpin. Tidak dilupakan juga kes babitkan individu bergelar Datuk dalam geng tertentu selain Datuk yang membelasah pemandu lori hanya kerana tersalah parkir.

Berjalanlah di pasar raya yang terbuka sekalipun, kita akan dengar bunyi tempik bapa memarahi anak dan isteri, ataupun isteri memarahi suami dan anak. Semuanya adalah pencetus kepada gengsterisme yang akhirnya membawa kepada buli. Kes buli tidak dapat dipisahkan daripada isu gengsterisme.

Buli bermula apabila ada sekumpulan lebih ganas bertindak melampaui batas terhadap pihak lain. Buli secara perlahan-lahan menjadi budaya di sini. Lihat sahaja di mana-mana institusi yang mempunyai orang baharu dan lama (junior dan senior).

Di asrama, kes buli adalah sebahagian daripada apa yang perlu dihadapi. Di universiti, kes buli menjadi sebahagian daripada acara orientasi. Dan di tempat kerja, yang baru masuk akan dibuli dengan cara membuat semua kerja yang diberi mahupun bukan kerja yang ada dalam SOP. Apabila ada yang cuba mengatakan buli adalah sesuatu yang salah, atau cuba menentang buli dengan cara membuat aduan mahupun menentang kekerasan, maka nasib mereka akan jadi lebih teruk.

Selamatkan mangsa buli

Al-Fatihah untuk adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi dan adik Zulfarhan Osman Zulkarnain. Kematian dua individu ini dalam tempoh kurang daripada tiga bulan sepatutnya menyedarkan banyak pihak bahawa terdapat banyak lagi kes di luar sana yang sedang berlaku dan tidak dilaporkan sama ada oleh pembuli, mangsa buli mahupun organisasi terbabit.

Kisah dua arwah adik ini seharusnya menjadi pembuka mata untuk kita menyelamatkan mangsa buli yang mungkin sedang mengalami nasib sama di luar sana. Dua kematian sudah terlalu banyak. Berapa lagi nyawa yang ingin kita korbankan kerana diamnya kita?

Namun begitu, sememangnya sukar untuk menangani kes seperti ini. Minda kelas ketiga orang kita menyukarkan kita untuk meletakkan pemangsa diseret ke undang-undang yang sedia ada.

Gemar berdiam diri

Ramai yang akan melindungi pembuli, baik kawan-kawan, saudara-mara, ibu bapa, mahupun organisasi sesuatu tempat itu sendiri. Mereka lebih gemar berdiam diri dan menyelesaikan secara sendiri tanpa dibawa ke muka pengadilan yang saksama. Rakyat minda kelas ketiga masih lagi mengagungkan undang-undang rimba!

Yang dibuli akan terus ditindas. Hingga akhirnya maut yang menjemput, baru semua pihak menjadi kalut. Selain itu, undang-undang rimba juga turut menyaksikan undang-undang yang melebihi batasnya dalam satu kesalahan. Akibat satu kesalahan, ditangkap dan dipukul sehingga nyawa melayang oleh mereka yang bukan diberi kuasa.

Ini berlaku kepada seorang lelaki yang ditangkap kerana dikatakan cuba mencabul wanita di dalam bilik air wanita. Tindakan masyarakat awam yang membelasah mangsa sehingga mati memperlihatkan seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang dan pihak berkuasa yang perlu dihormati. Jangan tanya, apa kerajaan perlu lakukan untuk membendung masalah ini.

Kerajaan sudah lama menjalankan kerja mereka. Pembangunan inisiatif teledera melalui nombor talian 15999 sudah lama diwujudkan. Nombor kecemasan 999 boleh dihubungi pada 24 jam tanpa gagal dijawab operator talian.

Tanya diri kita sendiri, adakah kita sudah menjalankan tugas kita sebagai ibu bapa, saudara mara, sahabat, masyarakat atau individu? Adakah kita sebahagian daripada pembuli? Yakni tanpa sengaja atau kita sedari?

Kita masih ada masa untuk memperbaiki diri. Masih ada peluang untuk kita sedar akan kesalahan diri. Pihak universiti dan asrama jangan lagi menutup isu buli yang wujud dalam organisasi. Bawa mereka yang membuli ini ke muka pengadilan, bukannya undang-undang rimba.

Jatuhkan hukuman setimpal kepada mereka ini sebagai pengajaran untuk diri mereka sendiri, dan teladan kepada pembuli-pembuli di luar sana. Apabila undang-undang rimba tidak lagi dijalankan kes buli akan berkurangan dan gengsterisme akan semakin mengecil dalam negara yang dilihat sebagai negara berasaskan budi pekerti yang tinggi ini.

Kebersamaan kita membawa kita ke arah menjadikan Malaysia negara majmuk yang harmoni yang didiami masyarakat pelbagai kaum yang bertoleransi.

Penulis ialah Eksekutif Yayasan 1Malaysia

283 dibaca
Berita Harian X