Sabtu, 17 Jun 2017 | 7:01am

PERODUA terima anugerah


AMINAR (tengah) bersama Pengerusi Asia Pasifik Brands Foundation, Tan Sri Rainor Althoff (kanan) dan Presiden the BrandLaureate, Dr KK Johan ketika menerima anugerah jenama terbaik, baru-baru ini.

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menerima Anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate bagi kategori Jenama Kereta Automotif Sedan/Kompak Paling Digemari 2016/2017 daripada the Asia Pacific Brands Foundation (APBF).

PERODUA menjadi satu-satunya syarikat pengeluar kenderaan (OEM) yang menerima anugerah pada acara yang berlangsung pada 22 Mei lalu itu.

"Ini adalah penghargaan kepada semua model kami yang bersaing dalam pasaran kompetitif. Terima kasih The BrandLaureate di atas penghargaan ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

PERODUA menghasilkan kenderaan kompak yang merangkumi beberapa model terkenal seperti Perodua Myvi, segmen A (Perodua Axia), sedan kompak (Perodua Bezza) dan kenderaan pelbagai guna (Perodua Alza).

Jual lebih 64,000 unit

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 64,700 unit kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding dengan 62,100 kenderaan antara Januari dan April tahun 2016.

Aminar berkata, dalam tempoh itu, semua kenderaan Perodua adalah model paling laris dalam segmen masing-masing dengan Axia mencatatkan jualan 22,000 unit, Bezza (19,500 unit) Myvi (13,900 unit) dan Alza (9,300 unit).

Jumlah industri keseluruhan (TIV) dari Januari hingga April 2017 dilaporkan Persatuan Automotif Malaysia berada pada 183,600 unit, yang mana PERODUA merangkumi 64,600 unit atau 35.4 peratus bahagian pasaran.

"Kami gembira menerima pengiktirafan The BrandLaureate dan juga rakyat Malaysia yang adalah pengesahan terhadap jenama kami dan sokongan padu mereka. Kami akan terus memperbaikinya dalam semua aspek, bagi pelanggan yang dihargai," kata Aminar.

Info:
PERODUA

  • Raih Anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate
  • Satu-satunya syarikat OEM yang menerima anugerah
  • Jual 64,700 unit antara Januari - April 2017
  • Capai penguasaan pasaran 35.4 peratus bagi 4 bulan pertama 2017
210 dibaca
Berita Harian X