Sabtu, 17 Jun 2017 | 7:00am

Shell, Waze perkenal fungsi baharu


LIM (kanan) dan Ling ketika melancarkan fungsi baharu amaran kawasan kerap kemalangan.

SHELL Lubricants Malaysia, menerusi jenama minyak motor Shell Helix, dengan kerjasama Waze, aplikasi lalu lintas dan nagivasi popular untuk melancarkan fungsi baharu amaran kawasan kerap kemalangan yang pertama di Asia.

Kerjasama di antara kedua-dua jenama global ini bertujuan untuk menjadikan jalan raya lebih selamat bagi pemandu sepanjang musim Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang ini.

Peringatan khas Shell Helix akan muncul di aplikasi Waze dari 16 Mei hingga 15 Julai 2017 untuk mengingatkan pemandu supaya lebih berhati-hati apabila kereta mereka menghampiri mana-mana di antara 50 kawasan kerap kemalangan di Semenanjung Malaysia.

Dedah lokasi berbahaya

Lokasi itu dikenal pasti berdasarkan data sejarah kemalangan yang dihantar oleh pengguna Waze.

Peringatan untuk memandu dengan berhati-hati apabila menghampiri kawasan kerap kemalangan ini bertujuan untuk membantu pemandu, terutamanya ketika tempoh sesak iaitu pada permulaan Ramadan; ketika dan selepas Aidilfitri.

Pesanan ini hanya akan dipaparkan semasa kereta berhenti sepenuhnya untuk mengelakkan daripada mengganggu tumpuan pemandu.

Kerjasama bantu pengguna

Pengurus Pemasaran Shell Lubricants Malaysia dan Singapura, Alex Lim, berkata syarikat itu membawa amalan keselamatan jalan rayanya ke tahap yang lebih tinggi menerusi kerjasama pintar bersama Waze untuk mengurangkan kebimbangan di kalangan pemandu semasa menggunakan jalan raya.

"Shell Malaysia sudah sinonim dengan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya sepanjang lebih 125 tahun kami di Malaysia.

"Kerjasama dengan Waze ini melambangkan hasrat kami untuk membawa komitmen kami terhadap keselamatan jalan raya ke peringkat yang seterusnya dengan berhubung dengan pemandu dalam masa nyata," katanya.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Waze Malaysia, Edward Ling berkata menyatakan bahawa amaran kawasan kerap kemalangan adalah kombinasi unik dua ciri dalam Waze - analisis data besar, yang dijana dari komuniti pengguna jalan raya dan ciri penempatan iklan.

Berita Harian X