Jumaat, 16 Jun 2017 | 8:45pm

200 ahli PPBM Melaka umum keluar parti, sertai UMNO


AB Rauf (dua dari kiri) menerima borang kemasukan ahli UMNO daripada Mohd Hafiz Iskandar (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa 1438H / 2017M UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, Masjid Tanah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MASJID TANAH: Seramai 200 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Melaka, mengumumkan keluar parti dan menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO, hari ini.

Langkah dibuat itu susulan kecewa dengan perjuangan tidak menentu PPBM, selain mengumumkan hilang kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan parti itu.

Bekas Penyelaras ARMADA PPBM Melaka, Mohd Hafiz Iskandar Jamil, berkata pengumuman keluar parti itu membabitkan ahlinya yang mewakili lima bahagian di kawasan Parlimen Masjid Tanah.

"Selama berkhidmat di bawah PPBM, saya tidak nampak parti ini benar-benar berjuang untuk membela anak bangsa, sebaliknya kudrat kami seolah-olah dipergunakan untuk majlis anjuran PPBM.

"Sebab itu, saya bersama 200 ahli yang lain berasakan perlu untuk tidak melawan arus dan memilih bersama UMNO, sekali gus memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang," katanya.

Penyerahan borang keahlian UMNO itu disampaikan kepada Setiausaha Kerja UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd di sini.

Yang turut hadir, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, langkah dibuat 200 bekas ahli PPBM itu membuktikan hanya parti UMNO yang memperjuangkan nasib rakyat sejak kemerdekaan negara selama 60 tahun.

"Melihat kepada kecelaruan Pakatan Harapan untuk memilih pucuk kepemimpinan, ia sudah cukup membuktikan mereka memang tidak pernah sepakat.

"Hanya UMNO dan BN yang benar-benar menambat hati rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X