Jumaat, 16 Jun 2017 | 7:01am

Isuzu buka pusat servis di Shah Alam


KEMUDAHAN pusat selepas jualan utama dikenali Isuzu Service Center (ISC) di Shah Alam, Selangor.

ISUZU Malaysia Sdn Bhd, melancarkan kemudahan pusat selepas jualan utama dikenali Isuzu Service Center (ISC) di Shah Alam, Selangor dalam usaha menawarkan perkhidmatan yang komprehensif, cekap dan profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Kenji Matsuoka, berkata ISC menyediakan platform kepada Isuzu dalam merealisasikan objektif korporatnya dalam meningkatkan hubungan dengan pelanggan.

"Dengan lebih 10,000 unit kenderaan baharu Isuzu didaftarkan setiap tahun di negara ini, kami harap penubuhan ISC mampu menawarkan perkhidmatan sokongan tambahan kepada rangkaian pengedar kami serta jumlah pelanggan yang kian meningkat," katanya berucap pada majlis perasmian ISC di Shah Alam, baru-baru ini.

ISC dilancarkan oleh Pengerusi Isuzu Motors Limited, Susumu Hosoi dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.


PENGERUSI Isuzu Motors Limited, Susumu Hosoi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Kenji pada majlis Perasmian ISC. - Foto Aswadi Alias

Diuruskan pasukan teknikal Jepun

Dioperasikan dengan kerjasama Automotive Corporation Malaysia (ACM) yang juga anak syarikat DRB-HICOM Bhd, ISC akan diuruskan oleh pasukan teknikal Jepun dari Isuzu Motors Limited yang disokong juruteknik yang memiliki sijil i-MEC Isuzu.

Kemudahan seluas 0.8 hektar akan disiapkan dan dilengkapkan sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini.

Ia turut dilengkapi pengangkat berkapasiti tinggi yang mampu mengangkat trak tugas sederhana dan berat, alat ujian kalibrasi brek, alat pengukur emisi ekzos, mesin penjajaran tayar dan roda.

ISC yang menawarkan tenaga kerja cekap, alat ganti tersedia dan kemudahan komprehensif dengan 16 ruang penyelenggaraan bakal memiliki pelbagai peralatan diagnostik.

"Dengan ini, kami harap dapat menggalakkan amalan penyelenggaraan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pengendali trak supaya melakukan servis berkala di pusat servis sah," tambah Matsuoka.

Info:
Isuzu Service Center (ISC)

  • Dibuka mulai Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang
  • Beroperasi pada Sabtu dari 8.30 pagi hingga 5 petang
30 dibaca
Berita Harian X