Jumaat, 16 Jun 2017 | 7:00am

Hyundai Elantra baharu dibuka untuk tempahan

HYUNDAI Sime Darby Motors (HSDM) membuka tempahan untuk model Elantra serba baru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tiga varian ditawarkan untuk Elantra baharu iaitu 1.6 Turbo Sport, 2.0 MPI Dynamic dan 2.0 MPI Executive, dengan harga masing-masing dijangka sekitar RM135,000, RM125,000 dan RM120,000.

Lebih menarik, bagi yang menempah Elantra baharu sekarang, mereka dijangka menerima kereta baharu itu sebelum sambutan Hari Raya ini.

Elantra varian 2.0 MPI (Dynamic dan Executive) oleh enjin empat silinder 2.0L yang mampu menghasilkan 152 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm.

Hasilkan kuasa 204 PS

Bagi varian 1.6 Turbo Sport pula, ia menggunakan enjin empat silinder Gamma 1.6 GDI Turbo yang lebih berkuasa apabila menghasilkan 204 PS pada 6,000 rpm dan tork 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

Antara kelebihan Elantra baharu ini termasuk Fluidic 2.0 dan enjin baru yang lebih berkuasa, penggunaan besi berkekuatan tinggi, Emergency Fastening Device dan Hands-free Smart Trunk.

Model ini juga menerima penarafan lima bintang dalam penilaian kenderaan baharu Australasia (ANCAP).

"Pelanggan boleh mengharapkan lebih banyak ciri hebat segmen eksklusif dengan model serba baru ini. Sama dengan semua model Hyundai, Elantra sentiasa dinaik taraf mengikut trend terkini dan juga untuk memenuhi jangkaan pelanggan," kata Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun.

Info:
Jangkaan harga Hyundai Elantra

  • 1.6 Turbo Sport - RM135,000
  • 2.0 MPI Dynamic - RM125,000
  • 2.0 MPI Executive - RM120,000
60 dibaca
Berita Harian X