Khamis, 15 Jun 2017 | 7:00am

Mazda 6, sedan diesel berkuasa


LEPASI jangkauan sebuah kereta penumpang. - Foto Salhani Ibrahim

DIPERKENALKAN pada Julai tahun lalu, Mazda 6 2.2 liter Skyactiv - D adalah sedan segmen-D yang memiliki karakter sporty hasil sentuhan falsafah reka bentuk Kodo dan teknologi Skyactiv.

Berbanding sesetengah sedan saiz pertengahan lain sering kali dikaitkan dengan golongan berumur, Mazda6 bagi penulis sedikit istimewa kerana ketika pertama kali melihat model ini pada majlis pelancarannya, BH Auto sebenarnya sudah pun terpegun dengan 'keanggunannya'.

Tidak keterlaluan jika reka bentuk Mazda 6 baharu ini cukup menakjubkan kerana ia tidaklah begitu berkotak seperti mana pesaingnya dan amat sesuai untuk golongan muda memandangkan gayanya sangat sporty.

Mazda 6 Diesel dilengkapi enjin 2.2 liter SkyActiv-D, 4-silinder sebaris, DOHC 16 injap yang mampu menghambur 173 kuasa kuda (hp) pada 4,500rpm dan tork 420Nm pada 2,000rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive.

Dengan menggunakan enjin diesel, apa yang pasti ia pasti memberi penjimatan bahan api yang jitu dan ia sememangnya benar apabila penulis merasai pengalaman sendiri.

Apa yang menarik, dengan kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) boleh dikekalkan pada putaran enjin serendah 2,000rpm, manakala tork 420Nm boleh diperoleh di awal putaran enjin. Ia jelas membuktikan jentera diesel Mazda ini sangat berkuasa.

Dengan hanya memijak sedikit pendikit, jentera meluncur pantas tanpa sebarang halangan dengan konsisten.


DILENGKAPI dengan paparan skrin sentuh tujuh inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3. - Foto Salhani Ibrahim

Kurang bunyi bising

Biasanya enjin diesel menghasilkan bunyi agak bising, namun dengan teknologi terkini Mazda, jentera yang digunakan Mazda 6 ini boleh dikatakan bunyi dan getaran enjin sangat minimum.

Selain itu, pertukaran gear juga lancar dalam keadaan posisi gear rendah atau tinggi.

Malah, pada kelajuan tinggi dan mengambil selekoh Mazda 6 tidak mengecewakan meskipun bertubuh sama dan penulis semakin menggemari model ini.

Tidak dinafikan apabila memandu pada jarak jauh, kita adakalanya terleka sehingga memasuki laluan bersebelahan. Dengan Mazda 6, anda tidak perlu bimbang jika sedikit leka, Lane-Keep Assist System (LKAS) akan berbunyi sebagai tanda amaran.

Secara peribadi, Mazda 6 yang ditawarkan dengan enjin diesel ini sangat memuaskan hati. Tidak keterlaluan jika penulis katakan, semua jentera diesel Mazda sememangnya bagus sehingga ia mempengaruhi penulis untuk mengatakan diesel lebih bagus daripada enjin petrol.


TEMPAT duduk pemandu yang selesa. - Foto Salhani Ibrahim

Ruang kabin selesa

Selain daripada unit penjana kuasa, elemen yang ada pada Mazda 6 diesel adalah sama dengan Mazda 6 2.5L Skyactiv- G kerana ia dilengkapi dengan teknologi LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan, manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED.

Ia turut menampilkan bumbung matahari berkuasa, cermin sisi berkuasa dengan petunjuk membelok dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/45/R19.

Bagi ruang kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-cara dan enam-cara bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat secara nisbah 60:40 dan material kulit dipilih bagi membaluti tempat duduknya, nampak lebih elegan dan sofistikated.

Fungsi lengkap

Mazda 6 ini juga dilengkapi dengan unit utama Mazda Active Driving Display, butang start/stop enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, pedal penukar gear di belakang roda stereng, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon termasuk corong untuk penumpang belakang, cermin pandang belakang anti-silau serta balutan kulit bagi roda stereng dan tombol gear.

Ia juga dilengkapi dengan paparan skrin sentuh tujuh inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3, sistem Bose Surround Sound dengan 11-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port bagi USB.

Seperti mana model terkini Mazda yang lain, jentera diesel ini turut menampilkan Mazda i-Stop Idling Technology tanpa Mazda i-ELOOP Brake Energy Regeneration System seperti mana ada pada model enjin petrol.


MAZDA 6 2.2 liter Skyactiv - D adalah sedan segmen-D yang memiliki karakter sporty. - Foto Salhani Ibrahim

Aspek keselamatan menarik

Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik, Bantuan Brek Kecemasan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Pemantauan Tekanan Tayar, Amaran Penukaran Lorong, Kepekaan Lintasan Trafik di Belakang, Sokongan Brek Bandar Pintar, Bantuan Titik Buta dan pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan Isofix.

Menyertai keluarga besar jentera dari Jepun itu, Mazda 6 SkyActiv-D dijual pada harga atas jalan termasuk insurans RM208,739.31.

Harganya agak premium tetapi sesiapa yang memiliki pastinya akan berpuas hati dengan pemilikannya yang tidak hanya menawarkan reka bentuk menarik, malah penjimatan bahan api yang mengagumkan.


MAZDA 6 Diesel dilengkapi enjin 2.2 liter SkyActiv-D, 4-silinder sebaris, DOHC 16 injap yang mampu menghambur 173 kuasa kuda pada 4,500rpm dan tork 420Nm pada 2,000rpm. - Foto Salhani Ibrahim

Info:
Mazda 6 2.2 liter Skyactiv - D

  • Harga atas jalan termasuk insurans RM208,739.31
  • Enjin 2.2L DOHC SkyActiv-D
  • Transmisi automatik 6-kelajuan Skyactiv-Drive
  • 173hp @ 4,500rpm
  • 420Nm @ 2,000rpm
  • Mazda Active Driving Display
  • Butang start/stop enjin
  • Brek parkir elektronik
  • Roda stereng teleskopik boleh laras
  • MZD Connect
  • Ciri keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, EBA, DSC, TCS dan ISOFIX
81 dibaca
Berita Harian X