Khamis, 29 Jun 2017 - 3:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jangan jadikan jalan raya medan maut


KEADAAN di lokasi kemalangan yang membabitkan lima orang dipercayai maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Ladang Risda, Palong pada 11 Jun lalu. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

SEREMBAN: Kompetensi pemandu kereta mahupun pengendali kenderaan berat serta kecuaian dan sikap ketika di jalan raya sering kali dikaitkan sebagai penyebab utama nahas jalan raya yang mengorbankan purata 20 orang setiap hari di negara ini.

Selain itu, sikap gemar memandu laju, jumlah peningkatan kenderaan, kawasan jalan yang beralun dan berlubang, cuaca, keadaan brek dan tayar kenderaan serta trend menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah antara punca berlaku kemalangan jalan raya.

Fenomena ini sudah cukup menggambarkan antara sebab utama nahas jalan raya adalah faktor kemanusiaan dan justeru, pelbagai operasi dan kempen keselamatan dilaksanakan oleh pihak berkuasa ketika musim perayaan adalah untuk mendidik pemandu agar lebih berhemah di jalan raya.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), purata 20 orang maut setiap hari daripada 7,152 kes kemalangan maut dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Pada setiap kali menjelang musim perayaan, ada sahaja berita kemalangan maut terpampang di dada akhbar seperti kereta terbabas, penunggang motosikal maut, terhimpit, terhumban dan tercedera.

Ahad lalu, peristiwa yang meragut lapan nyawa dengan enam daripadanya rentung dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan, adalah tragedi yang sangat meruntun jiwa ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri hujung minggu depan.

Dalam kejadian yang membabitkan tiga kereta Proton Preve, Perodua Myvi dan Toyota Vios serta sebuah treler yang membawa muatan sawit itu, dua insan menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka terkorban dalam nahas itu.

Dalam nahas 2.20 petang itu, mangsa yang maut ialah enam sekeluarga yang menaiki kenderaan Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52, dan isteri Masnoraida M Yussof, 44. Turut terkorban empat anak mereka iaitu Wan Muhammad Muhaimmin, 21, Wan Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7.

Dua lagi yang terkorban ialah pemandu dan penumpang Perodua Myvi iaitu Osman Mohamed Taip, 31, dan isterinya, Rosniza Othman, 32, manakala anak mereka Muhammad Alifthaqif Osman, 3, mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata keadaan Jalan Bahau-Keratong yang sempit dan beralun menjadikan kawasan itu tersenarai sebagai lokasi ''panas'' yang kerap berlaku kemalangan.

Menurutnya, kejadian malang itu berlaku di jalan lurus, namun agak berbahaya jika berselisih dengan kenderaan berat seperti lori atau treler yang boleh memaksa sesebuah kenderaan itu mengelak sedikit ke bahu jalan.

Jalan Bahau-Keratong sepanjang kira-kira 80km itu, yang menghubungkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor turut menjadi laluan pilihan kenderaan berat dan ia adalah jalan yang gelap ketika malam dan hanya mempunyai lampu jalan di persimpangan-persimpangan jalan sahaja.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 82 peratus kemalangan maut sepanjang tahun lepas itu berlaku disebabkan faktor kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Berkongsi pendapat sama ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin.

"Kebanyakan kemalangan bukanlah disebabkan keadaan jalan raya itu sendiri. Ia banyak melibatkan sikap dan emosi pemandu dan keadaan kenderaan yang dipandu," katanya kepada Bernama.

Profesor di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata kesan mengantuk, letih, usia adalah antara faktor yang boleh mengurangkan fokus pemanduan dan kurang peka terhadap keadaan sekeliling.

Menurutnya, waktu memandu yang lazimnya kritikal adalah waktu malam iaitu di antara jam 1 pagi hingga jam 4 pagi, memandangkan pada waktu berkenaan tubuh badan manusia berada pada tahap yang inginkan rehat.

Katanya, selain daripada waktu berkenaan, waktu memandu yang turut disenaraikan sebagai waktu kritikal ialah pada waktu siang antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang, yang biasanya boleh melalaikan si pemandu.

Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, Mohd Idrus dalam pada itu mencadangkan agar pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran secukupnya, lampu jalan di kawasan selekoh serta tanda amaran bercahaya pada waktu malam.

Selain operasi berskala, penggunaan ''transverse bar'' untuk tujuan ''traffic-calming'' atau meredakan kelajuan kenderaan juga akan dapat membantu mengurangkan keberangkalian berlakunya kemalangan di lokasi tersebut, katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pengguna bahawa jalan raya bukan lokasi untuk menunjukkan kepakaran memandu atau menguji kenderaan tetapi sebagai alat mendekatkan kita kepada keluarga, sahabat dan taulan dan bukan untuk kita meratapi kehilangan orang tersayang. - BERNAMA


Trending

    Disyorkan