Rabu, 14 Jun 2017 | 6:00am
Pelancong asing melawat sekitar Souq Waqif di Doha. - Foto Aizuddin Saad

Tiada krisis makanan di Qatar


Penduduk tempatan dan pelancong asing bersantai sambil menikmati suasana malam di Souq Waqif, Doha. - Foto Aizuddin Saad

Genap tujuh hari pertelingkahan diplomatik di Teluk Parsi, keadaan di ibu kota Qatar di sini yang dikenakan sekatan oleh jirannya yang diketuai Arab Saudi amat berbeza dengan apa yang dilaporkan.

Sekalipun laporan media memberi gambaran seolah-olah negara kecil yang kaya dengan gas itu berada dalam situasi krisis, kehidupan di sini aman dan tenang, malah aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa ketika umat Islam mengerjakan ibadah puasa tanpa sebarang masalah.

Aktiviti harian bermula seawal jam 8 pagi dan sekitar jam 2 petang, jalan di Doha akan sesak dipenuhi kenderaan penduduk yang pulang kerja lebih awal untuk persiapan berbuka puasa di rumah, hotel atau di masjid.

Tiada langsung kebimbangan mengenai 'stok makanan licin' seperti dilaporkan media di Malaysia sebelum ini, sebaliknya pasar raya tumpuan majoriti penduduk seperti Carrefour, Lulu dan Al Meera menawarkan produk makanan Turki yang dibawa masuk melalui udara seawal Khamis lalu.

Isnin lalu, berita mengenai tindakan Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir memutuskan hubungan serta mengenakan sekatan ekonomi ke atas Qatar menyebabkan penduduk melakukan pembelian panik yang menyaksikan stok makanan, khususnya produk tenusu diimport dari Arab Saudi kehabisan.

Foto rak makanan kosong di pasar raya tempatan yang diviralkan di media sosial itu memberi gambaran seolah-olah Qatar akan mengalami krisis makanan sedangkan situasi kembali normal pada keesokan harinya, selain persediaan Qatar berdasarkan pengalaman tahun 2014 ketika bertelingkah dengan Arab Saudi, Bahrain dan UAE.

Blok pakatan diketuai Arab Saudi dan disokong beberapa negara lain mendakwa Qatar dengan dasar luarnya yang berbeza itu, menyokong kumpulan pengganas serta bersikap pro-Iran yang juga musuh Majlis Kerjasama Teluk (GCC).


Pendatang asing beragama Islam dari India, Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal menunggu waktu berbuka puasa di Masjid Jumma, Doha. - Foto Aizuddin Saad

Sekatan bukan kali pertama

Menteri Ekonomi dan Kewangan Qatar, Sheikh Ahmed Jassim Mohamed Al Thani dalam laporan akhbar Qatar Tribune, berkata sekatan Arab Saudi melalui penutupan sempadan darat hanya memberi kesan minimum kepada ekonomi Qatar dan ini bukan kali pertama ia dilakukan.

"Syarikat beroperasi di Qatar sedar ekonomi kami kukuh dan Qatar antara negara berjaya menarik pelaburan dunia," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri minyak dan gas di Qatar, Ahmad Hasnan Mohd Zaki, berkata stok makanan habis sebelum ini disebabkan pembelian panik tetapi pada jam 3 petang Isnin lalu, Kerajaan Qatar mengeluarkan kenyataan stok makanan mencukupi.

Sehingga kelmarin, Ahmad Hasnan yang menetap di Al Khor, kira-kira 60 kilometer dari Doha bersama isteri dan tiga anak belum membeli barang keperluan dapur sejak krisis diplomatik dilaporkan berlaku kerana percaya masalah itu akan berakhir, selain persediaan Qatar dalam situasi itu.

Ahmad Hasnan adalah antara 4,900 rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Qatar yang mempunyai populasi 2.5 juta dengan hanya kira-kira 10 peratus adalah penduduk asal.  

Rakyat Filipina yang bekerja di Doha sejak tujuh tahun lalu, Acheta, 35, pula berkata beliau dan isteri, Cherry Ancheta, 32, serta anak lelakinya percaya situasi ini akan berakhir dan kebajikan penduduk akan terjamin.

Tinjauan penulis dan jurugambar di beberapa pasar raya di sini mendapati produk tenusu Turki kini memenuhi rak jualan yang dulunya mempamerkan dan menjual produk tenusu Al Marai diimport dari Arab Saudi.

Pasar raya Al Meera, misalnya meletakkan papan tanda khas bagi memudahkan penduduk tempatan membeli produk dari negara sekutu Qatar yang mana labelnya masih dalam bahasa Turki dan bukan dalam bahasa Inggeris atau Arab.  


Pusat beli-belah di Doha masih dibanjiri penduduk tempatan dan pelancong asing. - Foto Aizuddin Saad

Lokasi tumpuan pelancong dibuka seperti biasa

Doha: Souq Waqif yang juga lokasi tumpuan pelancong di Doha tetap meriah seperti biasa walaupun Qatar kini terbabit dalam pertelingkahan diplomatik dengan negara teluk diketuai Arab Saudi.

Dibuka seawal jam 5 petang, Souq Waqif yang menjadi lokasi wajib dikunjungi pelancong ke Qatar menawarkan pelbagai barangan tekstil dan kraf tangan itu bertambah meriah selepas waktu berbuka jam 6.25 petang sehingga lewat malam.

Gedung beli-belah seperti Qatar Mall, Gulf Mall dan Villageo Mall yang menawarkan produk berjenama dan eksklusif pula dibuka sehingga awal pagi, selain ada hari tertentu yang mengutamakan pengunjung keluarga.

Souq Waqif tetap dibanjiri pelancong

Walaupun cuaca di Doha ketika ini mencecah 40 darjah Celsius, penulis mendapati Souq Waqif tetap dibanjiri pelancong, termasuk dari Eropah, sekalipun penerbangan dari Arab Saudi, Bahrain, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir menghentikan penerbangan ke Qatar.

"Jumlah pelancong memang kurang ketika Ramadan dan sekarang pula cuaca panas," kata pemandu teksi dari Nepal, Sambul Poundel yang membawa penulis ke Souq Waqif untuk meninjau sendiri lokasi tumpuan pelancong di ibu kota Qatar itu.

Sebaik tiba di situ, penulis mendapati ramai penduduk tempatan dan pelancong membeli-belah dan beriadah. Ada juga yang berehat membawa keluarga sambil menjamu selera di restoran di situ.


Penduduk membeli produk susu yang diimport dari Turki selepas bekalan produk susu dari Arab Saudi ditarik balik susulan krisis diplomatik Qatar ketika tinjauan sekitar pasar raya di Doha. - Foto Aizuddin Saad

Turut kelihatan wakil media antarabangsa yang sedang membuat liputan di lokasi itu selepas mendapat permit kebenaran dari Qatar News Agency (QNA). Kebanyakan mereka membuat liputan mengenai perkembangan terkini di Qatar di sebalik krisis diplomatik yang berlarutan sejak Isnin lalu.

Kebanyakan penduduk tempatan dan pekerja di situ tidak mahu memberi komen mengenai situasi krisis di Qatar, sebaliknya mereka mahu penulis melihat dan menilai sendiri keadaan di Doha sama ada sedang mengalami krisis atau sebaliknya.

"Saya baca di akhbar (mengenai krisis antara Qatar dan negara Arab) tetapi nampak macam biasa di sini," kata pemandu limosin, Kumar yang berharap masalah di antara negara terbabit selesai secepat mungkin.  

Info: Krisis Qatar

  • 5 Jun 2017 - 5.50 pagi (waktu tempatan) - Bahrain mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. 
  • 6 pagi - Arab Saudi membuat pengumuman sama atas alasan melindungi keselamatan negara daripada ancaman pengganas. 
  • 6.20 pagi - Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan perintah memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha.
  • Pada hari sama, Mesir turut umum memutuskan hubungan diplomatik. 
  • Yemen, Libya, Senegal, Maldives, Mauritania, Comoros antara negara hubungan diplomatik dengan Qatar. 
  • Oman dan Kuwait yang juga negara ahli Lembaga Kerjasama Teluk (GCC) mengambil langkah neutral.
  • Bahrain meminta Qatar tidak bekerjasama dengan Iran dan tidak memberi sokongan kepada organisasi pengganas.
  • Arab Saudi mengarahkan Qatar hentikan sokongan kepada Hamas dan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood)
  • Kuwait mengetuai usaha mengadakan perbincangan dan mediasi. 
  • 40 peratus bekalan makanan Qatar dibawa melalui Arab Saudi.
  • Turki dan Iran kini membuka laluan udara untuk penerbangan dari Qatar, kedua-dua negara turut menawarkan bantuan makanan.
  • Sekatan terhadap Qatar

  • Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain sudah menutup laluan udara, air dan darat dengan Qatar. 
  • Rakyat Qatar diarah meninggalkan Arab Saudi, UAE dan Bahrian, selain tidak dibenarkan transit di UAE.
  • Qatar memberi tempoh dua minggu untuk rakyat ketiga-tiga negara itu meninggalkan negaranya.

  • Di pelabuhan UAE, kapal membawa bendera Qatar atau menuju ke negara itu, tidak dibenar melalui perairannya. 
  • Arab Saudi menutup pejabat rangkaian media milik Qatar, Al-Jazeera di negara itu. Jordan turut menarik lesen penyiaran Al-Jazeera di negaranya.
  • Laman sesawang media Al-Jazeera disekat di tiga negara berkenaan. UAE turut sekat penyiaran televisyen milik Qatar, BeIN Sport.
  • Laman sesawang penerbangan Qatar disekat di UAE. 
  • Bahrain mengarahkan sekatan sosial media terhadap kenyataan yang bersimpati kepada Qatar.
  • UAE memberi amaran rakyatnya boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda, jika buat kenyataan sokongan kepada Qatar.
  • Arab Saudi, UAE dan Bahrain menamakan 59 individu dan 12 organisasi dari Qatar dalam senarai pengganas, termasuk pemimpin organisasi Muslim Brotherhood, Yousuf Al-Qaradawi. 
  • 77 dibaca
    Berita Harian X