Jumaat, 9 Jun 2017 | 4:22pm

Pembangkang semakin bercelaru

BATU PAHAT: MCA menyifatkan perjuangan pakatan pembangkang kini semakin bercelaru dan tiada kesepakatan terutama membabitkan isu calon Perdana Menteri sehingga menyebabkan berlaku perbalahan sesama mereka.


Wee Ka Siong

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keadaan itu jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang terbukti sentiasa bersatu hati, harmoni dan membuat apa-apa keputusan dengan semangat kesepakatan.

Katanya, BN fokus dan komited dalam memperjuangkan pembangunan rakyat sejak memegang tampuk pemerintahan negara lebih 50 tahun lalu berbanding pembangkang yang lebih gemar bertelagah sesama mereka.

"Sehingga hari ini, pembangkang masih tidak dapat mencapai persetujuan mengenai siapa sebenarnya calon Perdana Menteri jika mereka berjaya tawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

"Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad pula sudah beberapa kali

menyatakan hasratnya mahu menjadi Perdana Menteri jika pembangkang ketiadaan calon.

"DAP menerusi Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) pun baru-baru ini menolak hasrat Tun Mahathir untuk jadi Perdana Menteri semula.

"Sangat jelas pembangkang bukan sahaja semakin bercelaru malah tidak pernah sehaluan sehingga sanggup bertegang urat dalam soal pemilihan calon Perdana Menteri yang 'sesuai' berbanding berkhidmat serta membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 kakitangan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di Pejabat SWM Yong Peng, dekat sini, hari ini.

212 dibaca
Berita Harian X