Khamis, 8 Jun 2017 | 1:28pm
PRIMADONA Makyung, Rosnan Rahman pada majlis pelancaran dokumentari Jejak Primadona Makyung yang diadakan di Restoran Thursdvy, TTDI. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Pakyung' diuji bakat filem Hong Kong


PRIMADONA Makyung, Rosnan Rahman. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Aktivis teater, Rosnan Rahman teruja berpeluang mengikuti sesi uji bakat sebuah filem Hong Kong di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam sesi uji bakat filem aksi itu, Rosnan yang cukup dikenali di pentas teater sebagai 'Pakyung', memegang watak setiausaha kepada karakter penting dalam filem berkenaan.

"Saya dihubungi ejen syarikat filem itu sehari sebelum sesi uji bakat. Teman saya, pelakon, Mei Fen, yang memberikan nombor saya kepada mereka.

"Ketika itu, saya tidak dimaklumkan mengenai judul filem berkenaan. Saya pun tidak diberitahu siapa pelakon dari Hong Kong yang akan terbabit dalam penggambaran filem itu," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalamannya, Rosnan diminta melakonkan watak setiausaha yang sangat setia dengan majikan.

"Saya melakonkan beberapa babak, termasuk adegan terkejut melihat sekujur mayat selepas menerima arahan majikan supaya menghapuskan bukti pembunuhan.

"Jika saya ditawarkan berlakon, penggambaran akan bermula akhir bulan ini, termasuk di Pulau Pinang," katanya.

Rosnan mula berlakon pada 2008 melalui sebuah filem pendek berjudul Chu Kang arahan Shuhaimi Lua Abdullah dan filem ...Dalam Botol.

Sebelum itu, Rosnan aktif di pentas teater di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Rosnan berkata, dia teringin membintangi drama televisyen (TV).

"Namun, sampai sekarang saya belum berpeluang berlakon di kaca TV. Ada tawaran yang datang tapi bercanggah dengan jadual tugas di Istana Budaya.

"Kebetulan, sekarang saya bercuti belajar selama dua tahun, jadi dapatlah curi ruang berlakon," katanya.

139 dibaca
Berita Harian X