Jumaat, 2 Jun 2017 | 2:12pm

Van Huizen kekalkan barisan sama


KETUA Jurulatih, Stephen George Van Huizen (tengah) bersama Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dan Selvenran a/l Saravanamuthu (kanan) menunjukan senarai skuad Hoki Malaysia yang akan ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017 London. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, mengekalkan barisan sama yang beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, bulan lalu bagi menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL).

Hampir semua pemain beraksi di Ipoh bulan lalu kekal sebagai pertaruhan terbaik Van Huizen menjana barisan yang purata usianya sekitar 25 tahun.  

"Inilah barisan terbaik yang kita miliki berdasarkan latihan yang dikendalikan.

"Saya percaya kombinasi ini mampu memastikan kita layak ke Piala Dunia 2018," katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia, sebentar tadi.

Perubahan cuma membabitkan pemain muda, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, yang digugurkan bagi membuka laluan kepada rakan senior, Izad Hakimi Jamaluddin, di posisi pertahanan.

Van Huizen, 58, berkata turut digugurkan adalah

penjaga gol Hairi Abd Rahman, Rashid Baharom, Ramadan Rosli dan anaknya sendiri, Joel.

Skuad Malaysia Tigers dijadual bertolak ke London pada Rabu ini dan bakal mengharungi tiga ujian perlawanan pemanas badan iaitu menentang pasukan pembangunan Great Britain (9 Jun), Wales (11 Jun) dan Kanada (13 Jun). 

Pada kempen Separuh Akhir WHL yang berlangsung di London dari 15 hingga 28 Jun ini, Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama pasukan nombor satu dunia Argentina, England, Korea Selatan dan China.

Senarai 18 pemain negara: 

Penjaga gol: S Kumar, Hafizuddin Othman 

Pertahanan: Razie Abd Rahim, Izad Hakimi Jamaluddin, Sukri Mutalib, Najmi Farizal Jazlan, Faiz Helmi Jali  -

Tengah: Nabil Fiqri Mohd Noor, Marhan Jalil, Azri Hassan, Nik Mohammad Aiman Nik Rozemi, Meor Muhamad Azuan Hasan, Fitri Saari 

Penyerang: Faizal Saari, Firhan Ashari, Haziq Samsul, Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Ab Jalil

203 dibaca
Berita Harian X