Selasa, 23 Mei 2017 | 10:05pm
KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kiri) bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar mempamerkan aplikasi Metro TV pada Majlis pelancaran aplikasi Metro TV di Glass House, Seputeh. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Harian Metro dan Media Prima Labs lancar MetroTV


PENGARANG Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar (dua kiri) bersama (dari kiri) Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau; Pengarang Digital Harian Metro, Munir An'am Zuljadan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali pada majlis Pelancaran MetroTV. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Akhbar Harian Metro (HM) dan Media Prima Labs, pembangun aplikasi mudah alih di bawah Media Prima Digital (MPD) berganding bahu melancarkan aplikasi MetroTV.

Aplikasi ini yang membawa kandungan berita dengan video setiap hari memaparkan kandungan eksklusif yang menampilkan pelbagai jenis berita seharian berteraskan 'human interest', jenayah, sukan, hiburan, semi dokumentari dan politik.

Sesuai dengan peredaran teknologi, budaya dan ekosistem digital di Malaysia, MetroTV tidak dapat lari daripada menawarkan kandungan video OTT (over-the-top) dan VOD (video on demand).

MetroTV adalah satu-satunya aplikasi video yang menawarkan ciri khas iaitu fungsi 'LIVE TELECAST' yang membolehkan pengguna aplikasi MetroTV menonton secara langsung

liputan berita dan program menarik yang sudah disusun setiap hari.

Bagi mendekatkan lagi masyarakat dengan HM, MetroTV akan memperkemaskan ruangan UGC ( User Generated) untuk membolehkan pengguna menghantar video menerusi aplikasi MetroTV.

Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar, berkata pelancaran MetroTV adalah satu lagi usaha untuk mengukuhkan statusnya sebagai akhbar Bahasa Melayu Popular di Malaysia.

"MetroTV adalah satu cabang baru buat kami menghargai pembaca setia Harian Metro yang tidak pernah jemu menyokong akhbar ini sejak di lancarkan pada 25 Mac 1991.

"Sudah pasti ketika kita mengikut arus peredaran zaman yang memerlukan integrasi teknologi terkini, MetroTV akan menjadi penanda aras untuk kita mengukur jalinan harmoni media baru dan media tradisional dalam menzahirkan tanggungjawab sebagai pengamal media.

"MetroTV adalah satu lagi wahana penyampaian maklumat yang hadir dalam bentuk lebih menarik dan komersial," katanya pada majlis Pelancaran MetroTV.

Aplikasi MetroTV boleh dimuat turun di Apps Store untuk pengguna IOS dan Google Play untuk pengguna Android.

37 dibaca
Berita Harian X