Selasa, 9 Mei 2017 | 7:23pm
Dari kiri, Datuk M. Nasir, Tan Sri Jojo, Penyanyi Ben Nathan, Datuk DJ Dave, Sahara Yaacob dan Maisarah pada Sidang Media Konsert Kasih dan Harapan Ben Nathan di Hard Rock Cafe Jalan Sultan Ismail. - Foto NSTP/Shiraz Ali

Konsert khas bantu Ben Nathan 21 Mei


Dari kiri, Tan Sri Jojo, penyanyi Ben Nathan dan Datuk DJ Dave pada Sidang Media Konsert Kasih dan Harapan Ben Nathan di Hard Rock Cafe Jalan Sultan Ismail. - Foto NSTP/Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Jojo Events dengan kerjasama Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) merealisasikan hasrat penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan untuk beraksi dalam sebuah konsert.

Presiden YA1M, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave, berkata Konsert Kasih & Harapan - Ben Nathan dianjurkan untuk mengumpul dana bagi membantu kebajikan penyanyi berkenaan.

"Penganjuran konsert ini adalah fasa kedua dalam bantuan yang dihulurkan kepada Ben. Menerusi konsert ini, kita berharap dapat mengumpul dana dengan semua hasil pendapatan daripada persembahan itu akan disalurkan kepada tabung khas untuknya," kata Dave.

Kata beliau, pada konsert yang akan berlangsung di Saloma Bistro, Jlaan Ampang, 21 Mei ini, Ben juga berpeluang untuk menghiburkan peminatnya.

"Selain Ben yang akan menyanyikan empat lagu popularnya, konsert itu turut menampilkan lapan penyanyi seangkatan dengannya, selain artis baharu.

"Sekarang, latihan membabitkan Ben turut pesat diadakan. Malah, saya lihat dia bersemangat untuk menjayakan persembahan itu nanti," katanya.

Selain Dave, penyanyi lain yang akan menjayakan konsert itu termasuk Datuk M Nasir, Nash, Fredo, Aris Ariwatan, Sahara Yaacob, Ramlah Ram dan penyanyi remaja, Maisarah Ukulele.

Sementara itu, bercakap mengenai tahap kesihatan penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati itu, Dave berkata, ia sudah mencapai kira-kira 85 peratus.

Sebelum ini, penyanyi terbabit diberikan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama enam minggu.

"Selepas menjalani rawatan di HKL, Ben ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Petaling Jaya, Selangor. Setiap minggu, dengan persetujuan keluarganya, saya cuba untuk meluangkan masa bersamanya dan membawa dia keluar bersiar-siar di sekitar ibu kota," katanya.

Menurut Dave lagi, selepas konsert itu juga, beliau cuba merealisasikan hasrat Ben untuk ke Jakarta, Indonesia, bagi merakamkan lagu baharunya di sana.

"Kita sedang mencari lagu sesuai untuk Ben dan akan mengadakan rakamannya di Jakarta. Saya berharap, ia dapat menaikkan lagi semangat dirinya dan selepas ini dia akan pulih sepenuhnya," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan konsert terbabit, tiket dijual pada harga RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 (semeja), serta RM100 untuk orang perseorangan.

Tiket boleh didapati di kaunter Hard Rock Cafe Kuala Lumpur atau di pejabat YA1M.

510 dibaca
Berita Harian X