Ahad, 30 April 2017 | 6:25pm

Pendaki tersohor maut di Gunung Everest


Ueli Steck. - Foto AP

KATHMANDU: Seorang pendaki gunung tersohor dari Switzerland maut selepas terjatuh ketika membuat persediaan untuk mendaki Gunung Everest, sekali gus menjadi orang pertama yang maut dalam musim mendaki, tahun ini.

Jurucakap syarikat Seven Summits Treks, Sherpa Mingma, berkata mangsa dikenali sebagai Ueli Steck, 40, maut selepas terjatuh di kaki Gunung Nuptse, iaitu puncak gunung yang lebih kecil.

Mingma berkata, Steck dalam proses menyesuaikan diri dengan suhu bagi melakukan ekspedisi menawan Gunung Everest dari laluan West Ridge yang jarang diterokai sebelum meneruskan pendakian ke Gunung Lhotse.

Ia adalah puncak keempat tertinggi dunia dengan ketinggian 8,516 meter.

"Mayatnya sudah dijumpai dan akan dibawa pulang ke Kathmandu," kata Mingma sebagai wakil syarikat itu yang bertanggungjawab menguruskan ekspedisi mangsa.

Pegawai Jabatan Pelancongan Nepal, Kamal Prasad Parajuli mengesahkan Steck maut ketika mendaki Gunung Nuptse dan merancang untuk menawan Everest selepas itu.

Ratusan pendaki kini sedang berkumpul di Base Camp Everest untuk bersiap sedia menawan puncak Everest setinggi 8,850m. - Reuters

1578 dibaca
Berita Harian X