Jumaat, 21 April 2017 | 11:48am

FullAMark pacu produk pendidikan dalam talian


ABDUL Jalil menyampaikan ucapan sebagai panelis sempena Persidangan Penerbitan Asia 2017 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) bercadang memacu prestasi produk pendidikan dalam taliannya, FullAMark, dengan menambah kandungan kurikulum aplikasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata strategi itu selaras dasar Transformasi 1.0 yang dilaksanakan syarikat untuk meneroka peluang menjana keuntungan menerusi produk baharu.

"Pendidikan adalah produk yang mempunyai nilai jualan, khususnya untuk memenuhi permintaan dalam sektor pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Oleh itu, produk FullAMark yang mula menjengah pasaran pada 19 Mei tahun lalu, dikenal pasti sebagai produk berpotensi tinggi untuk menjana keuntungan.

Tambah baik pengisian

"Kita bercadang untuk menambah baik pengisian aplikasi untuk membantu pembelajaran ini, selain meluaskan rangkaian pengguna," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai panelis sempena Persidangan Penerbitan Asia 2017, anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN- IFRA), di sini.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Badrulhisham Othman.

Selari kehendak pasaran

Abdul Jalil berkata, aplikasi FullAMark selari dengan kehendak pasaran kerana sesi pembelajaran boleh dijalankan tanpa mengira lokasi dan masa.

Selain itu, katanya, ia menyediakan panduan mencukupi daripada e-Cikgu yang memberikan teknik menjawab peperiksaan mengikut pendekatan terbaharu.

"Sejak dilancarkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, produk FullAMark ketika ini mencatatkan langganan 20,000 pengguna.

"Perangkaan yang dicapai dalam tempoh setahun ini menujukkan produk pembelajaran atas talian ini mempunyai pasaran dan mampu diperluaskan," katanya.

Beliau berkata, langganan sisipan Didik, Minda, Skor dan Varsiti turut menunjukkan perkembangan positif dan semakin diterima sebagai alat bantuan pengajaran.

Katanya, Didik yang diterbitkan setiap Isnin merekodkan tambahan cetakan 100,000 keping akhbar BH, sekali gus melonjak kadar jualan dan pencapaian syarikat.

"Kita akan terus meneroka peluang menjana keuntungan menerusi sektor pendidikan kerana ia ibarat 'telaga emas' yang mempunyai pelbagai potensi perniagaan," katanya.

32 dibaca
Berita Harian X