Khamis, 13 April 2017 | 7:06pm

Filem biografi Chong Wei temui penonton 2018


DARI kiri; Josiah Chieng, Ketua Pengarah Eksekutif Hwa Tai, Datuk Airique Soo, Pengarah Hwa Tai, Kol.Datuk Cheng Wah, Produser, Lee Chong Hoon dan pengarah filem, Teng Bee pada majlis menandatangani perjanjian penaja biskut rasmi antara Hwa Tai Industries Berhad dengan CB Pictures Sdn Bhd untuk filem biografi Datuk Wira Lee Chong "Menjulang Kejuaraan" di Plaza Damas. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 orang menghadiri sesi uji bakat bagi membintangi filem Menjulang Kejuaraan - filem biografi yang mengisahkan kehidupan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Pengarah filem terbitan CJ Pictures Sdn Bhd itu, Teng Bee, berkata pihaknya bagaimanapun masih belum menemui pelakon yang bersesuaian bagi membintangi watak utama sebagai Chong Wei.

"Secara keseluruhannya, seramai 2,000 orang hadir bagi sesi uji bakat yang kita lakukan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, kita sudah menapis 100 orang. Malah, ada juga pemain badminton dari Taiwan, China, Singapura dan Hong Kong turut hadir ke sesi uji bakat.

"Daripada jumlah itu, kita akan buat penilaian semula untuk mengambil pelakon yang bersesuaian.

"Namun, untuk watak Chong Wei, kita masih belum temui lagi. Usaha ke arah itu akan diteruskan bagi mencari pelakon yang mampu membawa watak Chong Wei. Kita mencari dua orang untuk watak Chong Wei iaitu ketika dia remaja dan berusia 30 tahun," kata Teng Bee.

Teng Bee berkata demikian ketika sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) penajaan antara CJ Pictures dengan syarikat pengeluar biskut terkemuka Malaysia, Hwa Tai Industries Berhad, di sini hari ini.

Hwa Tai diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Airique Soo Chung Yee manakala Lee Chong Hoon yang juga abang kepada Chong Wei mewakili CJ Pictures.

Mengulas lanjut, Teng Bee, berkata pihaknya juga dalam proses 'memujuk' Chong Wei untuk membuat penampilan istimewa dalam filem yang bakal memulakan penggambaran pada sekitar Mei atau Jun ini.

"Disebabkan jadual padat Chong Wei yang perlu menjalani latihan setiap hari, mungkin sukar untuk dia berlakon. Namun, kami dalam usaha untuk memujuk dia membuat penampilan khas dalam filem ini, semuanya masih dalam perbincangan lagi," katanya.

Dijangka menemui penonton pada 2018, filem Menjulang Kejuaraan itu turut disasarkan untuk tayangan peringkat antarabangsa.

Dengan kos pembikinan dianggarkan bernilai RM6 juta, projek terbitan CB Pictures ini turut mendapat kerjasama daripada produksi Taiwan yang membolehkannya menembusi pasaran negara berkenaan.

249 dibaca
Berita Harian X