Isnin, 3 April 2017 | 7:00am

DJ Kool FM, Liza berhijab selepas Fiesta Muslimah BH


PENYAMPAI Radio, Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau lebih dikenali sebagai Liza Kool FM. - Foto fail NSTP/Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Fiesta Muslimah BH ( FMBH) 2015, meninggalkan nostalgia manis dan menyuntik imej baharu buat Penyampai Radio, Kool FM, Khairu Norliza Khairudin apabila beliau mengambil keputusan untuk berhijab.

Lebih dikenali sebagai Liza Kool FM, beliau terdetik untuk terus memakai hijab selepas tamat mengacarakan fiesta terbabit yang diadakan di Pameran dan Konvensyen MATRADE, pada 24 dan 25 Oktober 2015.

Katanya, pada ketika itu beliau memakai tudung lengkap selama dua hari atas keperluan tugas, selain menghormati penganjuran FMBH yang berteraskan tema Muslimah.

"Tetapi, selepas selesai bertugas, terdetik satu perasaan untuk kekal bertudung ketika mahu makan bersama tunang, Mohd Khairil Mohd Ghany yang kini suami saya.

"Saya rasa bersalah, segan dan tidak selesa mahu menanggalkan tudung yang saya pakai ketika di FMBH. Lantas, saya terus mengambil keputusan untuk berhijab," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau mengulas mengenai penganjuran FMBH yang kini kembali lagi untuk tahun ketiga di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 2,3, dan 4 Jun depan.

Tiada sesiapa memaksa

Liza kekal berhijab adalah keputusannya sendiri dan bukan dipaksa oleh sesiapa.

"Saya tidak suka bercerita kisah kenapa berhijab kerana memakai tudung adalah satu kewajipan pada semua wanita Islam.

"Malah, sebelum berhijab, saya memang tidak pernah mengatakan sama ada tidak bersedia atau belum sampai seru. Semuanya berlaku tanpa sebarang paksaan," katanya.

Beliau berkata, selepas memakai hijab, beliau rasa lebih dihormati dan rakan lelaki juga menjaga batas pergaulan dengan dirinya .

"Mentaliti masyarakat terhadap wanita bertudung kini semakin terbuka. Rezeki kerjaya saya juga semakin bertambah dengan pelbagai tawaran selepas bertudung," katanya.

FMBH terbuka untuk semua wanita

Liza berkata, sebelum berhijab, beliau agak segan mengunjungi mana-mana bazar Muslimah memandangkan tidak bertudung.

"Ia pandangan yang salah. Bazar Muslimah seperti ini terbuka untuk semua wanita. Walaupun tidak bertudung dulu, saya masih mencari baju sopan dan tidak suka pada busana ketat.

"Jangan rasa rendah diri kerana tidak bertudung. Mungkin apabila hadir ke FMBH, anda akan rasa ingin berhijab seperti saya. Anda boleh saja mencari imej baharu ketika berkunjung ke situ," katanya yang memuji penganjuran FMBH bagi memartabatkan fesyen Muslimah.

INFO: Fiesta Muslimah BH

  • Kali pertama di Zebra Square, Kampung Pandan - 23 November 2014
  • Kali kedua di MATRADE, 23 dan 25 Oktober 2015
763 dibaca
Berita Harian X